Thursday, 14 May 2015

Ujian sebenar Najib di Dewan Rakyat, pilihan raya


SHAH ALAM – Penganalisis politik berpandangan, platform ujian sebenar untuk tentukan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sokongan adalah menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat ataupun melalui pilihan raya umum.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, Najib tidak akan berundur meskipun menerima tekanan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, desakan dan tekanan sedemikian hanya akan menyebabkan gangguan dalam urusan pentadbiran negara.

“Saya tidak fikir mendesak seseorang untuk turun pada ketika ini sesuatu yang baik. Ujian dan platform perlu diberi kepada beliau untuk diuji. Satu di Dewan Rakyat dan kedua di pilihan raya. Dalam keadaan sekarang, saya fikir, kalau ini terus-terusan desakan dibuat, ini boleh menjejaskan pentadbiran dan tumpuan beliau.

“Kecualilah memang ada desakan kuat dari dalam Umno sendiri. Kita lihat sekarang, tidak ada desakan sebaliknya sokongan. Majlis Tertinggi Umno, ketua bahagian dan sebagainya memberi sokongan,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata, tidak ada mana-mana perdana menteri bersedia untuk berundur selagi masih berkuasa, walaupun didesak mana-mana pihak.

“Seorang perdana menteri akan cuba mempertahankan kuasa dan kedudukannya dengan cara apa pun, walaupun menghadapi tekanan dari luar termasuk daripada Tun Mahathir,” katanya.

Mengulas soal pertemuan dari hati ke hati antara Najib dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau beranggapan meskipun pertemuan tersebut tidak menyelesaikan masalah namun ia dapat meleraikan kekusutan hubungan kedua-duanya selain mengurangkan keraguan.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau memerlukan sokongan 100 peratus daripada timbalan perdana menteri untuk memastikan tidak berlaku komplot atau konspirasi untuk menumbangkan beliau.

“Tindakan yang telah diambil oleh PM dan TPM untuk duduk berbincang secara ikhlas...secara jujur, terbuka itu langkah yang baik untuk leraikan kekusutan dan keraguan dalam hubungan mereka berdua,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian

Dipenjara sebulan membahayakan kru MAS

Ahli perniagaan Jerman Dietmar Ross (kiri) hari ini dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas mengaku bersalah membahayakan krew penerbangan MAS MH 0179 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Colombo hari ini.


SEPANG - Seorang ahli perniagaan Jerman dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membahayakan kru penerbangan MAS semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Colombo, Sri Lanka.

Hakim Aizatul Akmal Maharani yang bertindak sebagai Majistret perbicaraan telah memerintahkan Dietmar Ross, 54, menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan pada 10 Mei lalu.

Dia didakwa membahayakan kru pesawat MAS, Phuah Soh Kin, 48, dengan meninggikan suara dan tidak mematuhi peraturan penerbangan serta menggunakan bahasa kasar terhadap Phuah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa dalam penerbangan MH 0179 yang berlepas ke Colombo dari KLIA pada pukul 11.45 malam, 9 Mei.

Ross yang kelihatan tenang semasa hadir di mahkamah dengan berpakaian seragam lokap didakwa di bawah Peraturan 70 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1969. 

Semasa ditanya mengenai pengakuannya selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris, dia menganggukkan kepala dan berkata "Ya, saya mengaku bersalah."

Dalam rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh meminta hukuman denda minimum kerana ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan berlaku salah faham antara Ross dan kru penerbangan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramaniam memohon hukuman yang lebih berat kerana tindakan Ross meletakkan nyawa kru dalam bahaya dan dia sengaja tidak mematuhi arahan.

Menurut fakta kes, semasa insiden Ross telah meninggalkan tempat duduknya di kelas bisnes dan meminta pramugara menghidangkan wiski.

Memandangkan isyarat tali pinggang menyala pada masa itu, Phuah tidak memberikan minuman itu kepada Ross dan memintanya kembali ke tempat duduk.

Ini mencetuskan kemarahan Ross yang menghamburkan kata-kata kesat terhadap Phuah dan mendesak untuk berjumpa kapten penerbangan di dalam kokpit.

Selepas beberapa amaran tidak diendahkan Phuah meminta pertolongan daripada kru lain untuk membantu menghalang Ross dan kemudiannya tercetus pergelutan.

Phuah dan beberapa kru penerbangan kemudian dibantu oleh beberapa orang penumpang dan akhirnya Ross berjaya dikawal.

Phuah kemudian memaklumkan kapten penerbangan Mohammad Saifullizan mengenai insiden tersebut dan atas sebab keselamatan, beliau memutuskan untuk berpatah balik ke KLIA.

- Sumber: Bernama