Tuesday, 12 May 2015

PAC perlu libat wakil antarabangsa dalam siasatan 1MDB - Dr Ramon

DR RAMON: PAC perlu libatkan wakil antarabangsa dalam siasatan 1MDB.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dinasihat untuk menggunakan pakar antarabangsa sebagai rujukan dalam prosiding siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.

Pengerusi Pusat untuk Kajian Dasar Awam Institut Kajian Strategi & Kepimpinan (ASLI), Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata, ia sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap isu yang melibatkan sensitiviti rakyat akhir-akhir ini.

"Lebih baik PAC mengambil badan bebas dan antarabangsa untuk bersama dalam siasatan 1MDB. Ia dilihat mengeluarkan persepsi wakil politik, sekali gus membebaskan pemikiran masyarakat siasatan itu mempunyai elemen bias.

"Masyarakat takut hasilnya tidak adil jika tiada wakil luar, ia sekali gus menjamin keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PAC itu sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Ramon mengulas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata pihaknya akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah di dalam siasatan PAC.

Katanya, pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat dari tahun Mac 2009 hingga Mac 2013.

Dalam pada itu, kata Dr Ramon, PAC disaran menambah kakitangan dan ahli pakar di dalam proses siasatan berkenaan.

"Selain itu, sedikit peruntukan tambahan perlu disediakan kepada prosiding siasatan untuk memastikan dunia luar melihat proses dijalankan dengan penuh integriti.

"Ia melibatkan wang rakyat, jadi seharusnya ia memberi hasil yang benar-benar memuaskan hati semua pihak," jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendesak ahli perniagaan Jho Low segera pulang ke negara ini untuk berdepan PAC.

Katanya, Jho Low juga perlu berani berhadapan media secara terbuka dan mempertahankan diri apabila diasak soalan yang bakal ditanyakan wartawan.

- Sumber: Astro Awani

Denda, penjara jika tak solat Jumaat mulai 1 Jun

Gambar hiasan

ALOR SETAR - Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata, mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat. 

Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaik akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.

Syeikh Ahmad berkata, Jaik mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan. 

- Sumber: Bernama