Monday, 11 May 2015

Kerana cabul lelaki dijel 10 tahun, tiga sebatan

Tertuduh (kiri) akan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa untuk menjalani hukumannya.

KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur kerana merompak dan mencabul dua beranak dalam kejadian Januari lalu, dia dihukum penjara 10 tahun serta tiga sebatan oleh mahkamah sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Khairul Ikhwan Mohamed, 30, dihukum selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Dia didakwa bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas telah merompak seorang wanita berusia 56 tahun serta anak perempuannya berusia 22 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, pada jam 3.30 pagi, 18 Januari lalu.

Rompakan itu membabitkan kerugian RM200,000.

Bagi kesalahan kedua dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap gadis tersebut dengan niat untuk mencabul kehormatannya pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Nordalina Ali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira jenayah serius yang dilakukan tertuduh.

Dalam kejadian lalu, pengadu tersedar daripada tidur mendapati dua lelaki berada di dalam biliknya di tingkat dua dan mendapati dirinya diikat kaki, mulut dan tangan.

Anak perempuan pengadu yang ada bersama juga diikat tangan, kaki, dan mulut.

Mereka bertanyakan duit dan barang kemas kepada pengadu dan menggeledah rumah tersebut.

Tertuduh dan rakannya itu bersenjatakan pisau dan golok kecil diacukan pada leher mangsa dan anaknya.

Mereka juga bertindak meraba anak mangsa dan gadis itu cedera di pipi terkena pisau yang diacukan kerana meronta ketika dicabul. Mereka kemudian meninggalkan rumah dan mangsa serta anaknya membuka ikatan serta meminta pertolongan.

Perompak turut melarikan wang tunai RM7,000; barangan kemas; beg tangan, beg duit mengandungi pelbagai kad, empat telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang keseluruhannya bernilai RM200,000.

- Sumber: Sinar Harian 

Najib: Kenyataan Tun M berbelit-belit


TAWAU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kebelakangan ini berbelit-belit.

“..sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion,” katanya katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran Tawau di sini, hari ini.

Najib menegaskan, kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.

Perdana Menteri menjelaskan, ketika Tabung Haji (TH) membeli sekeping tanah milik 1MDB ia adalah pelaburan dan bukannya 'bailout' 1MDB kerana TH boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian itu namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau menasihatkan TH menjual tanah berkenaan.

Najib berkata, melalui penjualan semula aset berkenaan, TH boleh untung sehingga RM5 hingga RM6 juta namun pada masa sama merugikan pendeposit TH sendiri kerana jika aset itu tetap milik TH, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.

"Tetapi kerana isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata 'you are shooting yourself at your foot', tembak kaki sendiri. Inilah yang saya kata tidak rasional.

"Kita buat sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang. Setiap perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada pemimpin untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.

Perdana Menteri berkata selepas menyaksikan sokongan padu diberikan rakyat kepadanya seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini, beliau berazam untuk meneruskan perjuangan malah semangatnya kian berkobar.

- Sumber: Bernama