Thursday, 23 April 2015

Negara ini sudah buat silap, kata Hadi

Abdul Hadi Awang 

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia sudah melakukan kesilapan apabila memulakan pembangunan negara dengan ekonomi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, ini kerana negara ini sepatutnya memulakan pembangunan dengan pembangunan modal insan terlebih dahulu.

"Saya melihat kesilapan negara dalam dunia hari ini. Mereka jelas mengamalkan prinsip yang bertentangan dengan Islam. Mereka memulakan pembangunan negara dengan wang dan ekonomi terlebih dahulu.

“… Islam pula memulakan pembangunan menerusi pembangunan modal insan dan akhlak. Menerusi pembangunan insan itu, ilmu, akhlak serta moralnya dibentuk. Jika ada ilmu sahaja tetapi tidak ada akhlak, maka ia tidak akan berjaya,” katanya dalam Bicara Minda dan Sesi Dialog Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di sini, hari ini.

Menyentuh soal hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar pula, beliau berkata, Malaysia sepatutnya lebih banyak memainkan peranan dalam mengenalkan dan menyebarkan agama Islam kepada pihak asing.

“Dalam undang-undang antarabangsa Islam, Islam membenarkan kita mengadakan hubungan diplomatik dengan syarikat asing.

“… Untuk apa tujuannya? Untuk menyampaikan mesej bahawa Islam boleh diterima dalam masyarakat. Sebab itulah kita tidak pernah dengar negara China memerangi Islam.

"...kerana hubungan diplomatiknya dijaga dengan baik dan Islam didedahkan kepada masyarakat China dengan baik sekali,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Mengamuk apabila pengemis berikan wang

Sedutan video eksperimen sosial yang dimuatnaik oleh Yousef

BEBERAPA orang awam dilihat naik marah selepas seorang pengemis bertindak memberikan wang kepada mereka.

Dalam sebuah video eksperimen sosial yang dihasilkan oleh Yousef Saleh Erakat, beliau menyamar sebagai seorang pengemis yang bertindak memberikan wang kepada orang yang membantu beliau.

Berdasarkan rakaman lima minit 18 saat berkenaan, hanya dua orang awam bertindak menerima wang dari Yousef selepas mereka sendiri memberikan wang kepada pelakon berkenaan.

Di akhir video, seorang lelaki dilihat mencemuh dan menghina Yousef yang ingin membantu membayar duit parkir lelaki tersebut.

Tujuan eksperimen sosial berkenaan dikatakan untuk merasai perasaan dibantu oleh mereka yang selalunya dianggap sebagai kelas bawahan.

"Tidak kira betapa kaya anda dalam hidup ini jika kekayaan anda menyebabkan anda hidung tinggi," kata Yousef melalui respon di laman Youtube.

"Akhirnya, orang yang paling miskin mampu menjadi yang paling kaya berdasarkan kebaikan hati mereka," akhiri Yousef.

- Sumber: Sinar Harian