Sunday, 12 April 2015

Argentina minta polis Interpol keluar notis untuk tangkap Justin Bieber

Seorang hakim Argentina telah meminta Interpol untuk mengeluarkan Notis Merah bagi penangkapan bintang pop terkenal Justin Bieber.

BUENOS AIRES: Seorang hakim Argentina telah meminta Interpol untuk mengeluarkan Notis Merah (Red Notice) bagi penangkapan bintang pop terkenal Justin Bieber atas dakwaan serangan terhadap seorang jurugambar di luar kelab malam pada 2013.

Bieber mengabaikan perintah mahkamah pada November 2013 untuk hadir di hadapan hakim dalam kes itu, bulan yang sama apabila bintang itu berada di Buenos Aires untuk siri jelajah konsert.

"Kami meminta Interpol untuk tahan Justin Bieber, di mana-mana sahaja di dunia. Oleh kerana dia tidak dapat ditemui untuk hadir untuk memberi keterangan, kami meminta beliau ditahan," kata Setiausaha Hakim Alberto Banos kepada AFP.

Beliau berkata permintaan itu dibuat pada 8 April, selepas Bieber gagal hadir di mahkamah dalam tempoh 60 hari saman itu berkuatkuasa.

Interpol, badan polis antarabangsa, tidak mengeluarkan waran tangkap sendiri, tetapi boleh menghantar Notis Merah memaklumkan 190 negara anggotanya bahawa suspek yang dikehendaki berada di negara tertentu.

Menurut aduan itu, pengawal peribadi (atas arahan Bieber) merampas kamera dan telefon bimbit jurugambar Diego Pesoa di luar sebuah kelab malam di kejiranan Palermo pada bulan November 2013.

Siri jelajah konsert Bieber 2013 di Argentina dipenuhi dengan skandal. Beliau dihalau dari sebuah hotel dan terpaksa membatalkan salah satu konsert selepas peminat menanti selama 45 minit kerana sakit perut. 

- Sumber: Agensi

Tak kena GST kalau guna elektrik bawah 300kw/h


JITRA - Pengguna domestik yang menggunakan elektrik kurang dari 300kw/h (kilowatt per jam) sebulan tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, GST sebanyak enam peratus, hanya dikenakan terhadap pengguna yang menggunakan elektrik lebih dari 300kw/h sebulan.

Mahdzir berkata, beliau perlu memberi penjelasan tersebut berikutan terdapat kekeliruan ditimbulkan sesetengah pihak bahawa GST dikenakan terhadap semua pengguna domestik yang menggunakan bekalan elektrik.

"Kita sudah membuat kajian sebelum ini dan mereka yang menggunakan kipas angin, peti ais, televisyen dan mesin basuh, penggunaan elektrik mereka tidak lebih dari 300kw/h sebulan.

"Pengguna perlu ada kebijaksanaan dalam menggunakan elektrik. Guna secara berhemah dan tidak membazirkan elektrik," katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Golf Amal anjuran Yayasan Kemiskinan Darul Aman, di Darul Aman Golf and Country Resort di sini hari ini.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darul Aman berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah pusat hemodialisis pertama di daerah Padang Terap tidak lama lagi.

Katanya pusat tersebut yang dijangka beroperasi penghujung tahun ini, akan dilengkapi lima mesin hemodialisis bagi memberi rawatan kepada pesakit buah pinggang di daerah berkenaan yang kini mendapatkan rawatan di Alor Setar.

"Hari ini kita anjur kejohanan golf amal, kita dapat kumpul sebanyak RM480,000 dan hasil kutipan dan sumbangan itu akan digunakan untuk membeli mesin hemodialisis," katanya.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengenakan bayaran minimum dan tidak akan membebankan mereka yang mendapatkan khidmat rawatan di pusat hemodialisis tersebut. 

- Sumber: Bernama