Saturday, 4 April 2015

Kartunis Zunar ditahan semula selepas mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Kartunis, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar telah ditahan semula selepas mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menghasut di mahkamah hari ini, lapor Malaysiakini.

Menurut portal tersebut, dia ditahan polis kira-kira 30 minit selepas menyelesaikan urusan jaminan bagi sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Difahamkan, Zunar ditahan berhubung salah satu postingnya di laman Facebook.

Terdahulu, Zunar pada Jumaat telah mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menghasut di laman Twitternya berhubung keputusan rayuan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, beliau memohon untuk dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Zainol Rashid Hussain

Mahkamah turut membenarkan Zunar diikat jamin RM2,500 setiap bagi pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan RM22,500 serta menetapkan sebutan semula kes pada 20 Mei ini.

Bagaimanapun jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara 43 tahun.

Pada 11 Februari lalu, Zunar, 52, telah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitter, telah mengarahkan pihak polis menyiasat kartunis itu kerana memuatnaik tweet yang dikatakan berbaur hasutan.

- Sumber: Astro Awani 

Tabiat minum 'teh o ais' penyebab kegagalan buah pinggang

Tabiat meminum 'teh o ais' dikatakan boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang

Seorang lelaki dari Arkansas, Amerika Syarikat dilaporkan mengalami kegagalan buah pinggang dan ia dikaitkan dengan tabiatnya yang gemar minum 'teh o ais' yang keterlaluan.

Dia yang berusia 56 tahun itu dikatakan meminum sehingga melebihi empat liter 'teh o ais' setiap hari.

Teh hitam komponen utama minuman itu dikatakan mengandungi banyak kandungan garam asid ataupun oksalat, yang sering dikaitkan dengan masalah membabitkan buah pinggang. Ekoran tabiat minum teh lelaki itu menyebabkan kadar pengambilan oksalatnya lebih daripada 1,500 miligram sehari.

Selepas dimasukkan ke hospital sekitar Mei tahun lalu, pemeriksaan hospital mendapati air kencingnya dipenuhi gentian kristal kalsium oksalat.

"Ia adalah penjelasan yang munasabah," kata Dr Umbar Ghaffar dari University of Arkansas.

Beliau bersama dua orang lagi doktor memberikan penjelasan mengenai kes ini menerusi laporan yang disiarkan New England Journal of Medicine pada Khamis.

Oksalat turut terkandung dalam pelbagai makanan harian lain seperti sayur bayam, coklat, kacang dan dedak gandum. Lazimnya pakar menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil lebih dari 50 miligram oksalat dalam sehari.

- Sumber: Astro Awani