Thursday, 2 April 2015

7-Eleven mohon maaf kesilapan GST

7-Eleven

SHAH ALAM - Rangkaian kedai runcit 24 jam, 7-Eleven memohon maaf kerana kesilapan mengenakan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap penjualan akhbar di kedai tersebut bermula pagi tadi.

Menulis di Facebook hari ini, 7-Eleven menjelaskan bahawa perkara itu berlaku akibat kesilapan sistem mesin jualan dan pihaknya tidak berniat untuk berbuat demikian.

“Sejurus sahaja kesilapan sistem itu diketahui kami terus ambil tindakan dengan menarik balik produk ini daripada jualan supaya tidak menyusahkan pelanggan.

“Bagaimanapun kami faham bahawa insiden itu menyebabkan kekecewaan kepada pelanggan kami dan oleh itu kami dengan ikhlas memohon maaf,” katanya.

7-Eleven berkata, kesilapan tersebut telah diperbaiki dan pihaknya menegaskan 7-Eleven sentiasa menyokong pelaksanaan GST.

“Bagi sesiapa yang telah memberi kesan pada hari ini, kami hargai jika anda boleh menghubungi dengan menggunakan facebook atau e-mel rasmi 7-Eleven Malaysia dengan maklumat anda (e-mel dan nombor telefon bimbit) untuk kami membetulkan kesilapan ini.

“Sekali lagi kami ingin memohon maaf kepada semua pelanggan kami berikutan kesilapan teknikal dalam sistem kami ini,” kata 7-Eleven.

- Sumber: Sinar Harian | 1 April, 2015

Skuad Harimau Muda dicadang bubar

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran supaya membubarkan skuad Harimau Muda iaitu skuad negara bawah 22 tahun bagi menumpukan perhatian terhadap program pembangunan di peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu telah dimaklumkan kepada wakil FAM semalam.

Beliau berkata, kewujudan skuad Harimau Muda itu adalah untuk tempoh jangka masa pendek dan tidak boleh diteruskan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, beliau pernah membuat cadangan itu ketika memegang jawatan Timbalan Presiden FAM.

“Sebelum ini pun saya pernah cadangkan supaya skuad Harimau Muda ini dibubarkan. Kita perlu beri peluang kepada pemain untuk bermain dengan kelab atau pasukan negeri,” katanya ketika mengulas kegagalan skuad itu ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 23 Tahun di Qatar tahun depan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jam tangan Garmin dengan navigasi sistem pengesanan global (GPS) di sini hari ini, Khairy berkata sekiranya pemain skuad itu didedahkan dengan kelab atau pasukan negeri, mungkin prestasi pemain akan meningkat dengan cepat. 

Dengan cara itu, katanya, pemain akan lebih tahu tahap kemampuan masing-masing berbanding bermain dalam kalangan kelompok mereka sendiri di mana mereka tidak dapat meningkatkan kemahiran permainan masing-masing.

Pada pusingan kelayakan Kumpulan I, skuad bimbangan Razip Ismail hanya mampu menduduki tangga ketiga kumpulan selepas tewas kepada Vietnam 2-1 dan Jepun 1-0 dan menang 2-0 ke atas Macau.

Khairy berkata semua pemain bawah 23 tahun Jepun, bermain dengan kelab dalam liga tempatan sebelum dipanggil untuk mewakili negara itu.

"Peningkatan mutu bola sepak negara akan mengambil masa sekurang-kurangnya masa lima hingga 10 tahun dan justeru itu, generasi baharu dapat dilahirkan melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN," katanya.

"Selari dengan matlamat PPBN, kita juga mahu Liga Malaysia menjadi lebih berdaya saing. Jika Liga Malaysia sendiri tidak berdaya saing, akhirnya kita akan dapat keputusan yang sama," katanya.

- Sumber: Bernama