Thursday, 26 March 2015

Penggali kubur pengsan keranda tiba-tiba terbuka

Gambar Hiasan


GELSENKIRCHEN - JERMAN. Seorang penggali kubur pengsan selepas terkejut apabila penutup keranda tiba-tiba terbuka dan kemudiannya mendengar 'mayat' bertanyakan di manakah dia berada.

'Mayat' wanita warga emas yang berusia 92 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh doktor di rumah orang-orang tua dan kemudiannya dibawa ke tempat pengebumian untuk disemadikan.

Anehnya, dia 'hidup semula' sebelum dikebumikan dan membuatkan penggali kuburnya pengsan.

Pengurus rumah pengebumian kemudiannya menemui wanita tua tersebut berbaring dalam keranda dengan kedua-dua mata terbuka sebelum membawanya ke hospital.

Dia turut memeriksa nadi wanita berkenaan dan mendapati dia masih hidup.

Memetik laporan Mirror.uk, polis sedang menjalankan siasatan ke atas jururawat dan doktor yang mengesahkan kematian wanita tersebut.

Menurut laporan, wanita itu ditemui di tempat tidur di rumah orang-orang tua oleh penjaga, dan dia menyangka wanita tersebut sudah tidak bernafas.

Seorang doktor telah dipanggil dan kemudiannya mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia sebelum dia dibawa pergi oleh seorang pengurus mayat.

Sementara itu, pengurus rumah orang-orang tua tersebut, Lother Burger berkata ini adalah sesuatu yang tidak dijangka dan sukar untuk diterangkan

- Sumber: Mirror.uk

Penyimpan Mohor Raja-Raja buat laporan polis


KUALA LUMPUR - Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini membuat laporan polis bagi menafikan penyiaran sebarang kenyataan berhubung pendirian Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Jalan Travers di sini pagi tadi juga bagi menegaskan apa yang disiarkan dan diterbitkan adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh pejabat berkenaan.

"Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak membincangkan perkara yang dihebohkan itu dalam mesyuaratnya.

"Pejabat itu juga tidak mengeluarkan siaran akhbar bertarikh 25 Mac (semalam) yang menyentuh perkara (hudud) itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita menyiarkan laporan yang mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan isu hudud dan ia menjadi viral di internet. 

- Sumber: Bernama