Saturday, 21 March 2015

Cara mengenali bungkusan Milo asli dan palsu

Foto ihsan Facebook Milo Malaysia

SHAH ALAM - Milo Malaysia memberitahu cara mudah untuk membezakan bungkusan Milo asli dengan bungkusan Milo palsu, semalam.

Pendedahan melalui laman Facebook 'Milo Malaysia' berkenaan memberitahu bahawa bungkusan plastik Milo asli dilakukan oleh mesin dan bahagian atas bungkusan tersebut tidak sempurna.

Pendedahan berkenaan juga menunjukkan bungkusan plastik Milo tiruan akan mempunyai bahagian atas mempunyai kesan gerigi yang sempurna.

Namun, pendedahan yang dibuat oleh Milo Malaysia menimbulkan persoalan selepas beberapa pelayar mempersoalkan kesempurnaan potongan yang dibuat oleh mesin pembungkusan produk Milo.

"Ini sangat mengelirukan. Maksud anda mesin (kepunyaan Milo) tidak memotong dengan sempurna? Jadi potongan tidak sempurna adalah (Milo) asli? Potongan sempurna pula adalah yang palsu? Anda pasti?" kata seorang pelayar, Iven Neoh.

"Sekarang saya tertanya jika Milo tin yang saya beli palsu (atau tidak). Saya tidak pernah beli Milo dalam beg (plastik). Ada sesiapa boleh beri saya maklumat?" kata Kimme Cheah.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan (KPDNKK) merampas produk minuman Milo tiruan dengan nilai rampasan RM250,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah taman perumahan mewah di Mantin, Sabtu lepas.

- Sumber: Sinar Harian 

Sham Real X meninggal dunia, selamat dikebumikan

  • Sham Real X meninggal dunia, selamat dikebumikan
  • Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Baru, Kuala Kangsar. - Foto Sinar Harian oleh RIDAUDDIN DAUD

KUALA KANGSAR - Bekas pemain dram kumpulan rock tanah air, Real X menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Kangsar, petang semalam.

Ahmad Hishamsul Yahya, 42, atau lebih dikenali sebagai Sham Real X selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Baru, Kuala Kangsar, hari ini.

Urusan pengebumian Allahyarham selesai kira-kira jam 11 pagi yang turut dihadiri sanak saudara serta kenalan arwah.

Beberapa rakan artis dilihat turut hadir memberikan penghormatan terakhir antaranya Shah Slam.

Sepupunya yang enggan dikenali berkata, Sham Real X meninggal dunia akibat menghidap penyakit jantung dihidapinya.

“Arwah kerap juga membuat rawatan susulan di Kuala Lumpur bagi merawat penyakitnya itu. Apabila penyakitnya menyerang, memang arwah kelihatan lemah saja.

“Malam kelmarin (Rabu), arwah tidak boleh tidur sampai 3 pagi disebabkan sakitnya itu. Kemudian rakannya datang mengurut, barulah arwah boleh tidur lena.

“Tengah hari semalam, arwah rasa semakin teruk dan mengadu lapar. Arwah hanya sempat jamah tiga suap sebelum terus dibawa ke hospital,” katanya

Sham Real X melakar nama dalam industri hiburan selepas menganggotai kumpulan rock Real X yang menampilkan bekas penyanyi kumpulan XPDC, Mail dan menjadi kegilaan ramai pada era 90-an.

Beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang lakonan dan pernah membawa watak sebagai seorang anggota kumpulan Malaikat Maut dalam filem Rock.

- Sumber: Sinar Harian | 20 Mac 2015