Thursday, 19 March 2015

Tidur semasa bertugas: Polis tidak tolak gambar diambil pihak dalaman

Polis tidak menolak kemungkinan gambar dua anggotanya yang tidur di Balai Polis Komuniti Mak Mandin, Butterworth, diambil pihak dalaman.

KUCHING: Polis tidak menolak kemungkinan gambar dua anggotanya yang tidur di Balai Polis Komuniti Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang diambil pihak dalaman sebelum disebarkan dalam media sosial oleh orang awam.

Pada 10 Mac lalu gambar anggota polis lelaki dan wanita yang bertugas, tidur di kerusi di pejabat pertanyaan balai polis berkenaan tersebar di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan sebarang tindakan disiplin kepada dua anggota berkenaan akan diputuskan kemudian. 

"Saya belum dapat maklumat terperinci tetapi dimaklumkan ada di kalangan pihak dalaman (mengambil gambar) dan telah dedahkan kepada pihak yang tidak berkaitan dengan PDRM.

"Mungkin ada niat di sebalik penyebaran gambar tersebut, itu kita belum pasti dan masih dalam siasatan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak pada Rabu.

Turut hadir Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, SAC Mohd Jasmani Yusoff dan Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sarawak, Datuk Isa Munir.

Pada majlis itu, sejumlah RM8,500 diagihkan kepada 17 anggota polis dan pegawai awam dari negeri ini yang terjejas banjir yang berlaku pada Januari lalu.

Terdahulu dalam ucapan, Mohamad Fuzi berkata sejumlah RM1.6 juta berjaya dikutip dan telah diagihkan kepada 1,385 anggota polis yang terjejas banjir pada Disember dan Januari lepas.

Menurutnya, kutipan tersebut merupakan hasil pemotongan gaji anggota secara 'one-off' serta sumbangan ikhlas badan bukan kerajaan, individu dan kontinjen daripada setiap negeri.

Sementara itu Mohamad Fuzi berkata selain diarah bertukar dalam tempoh 24 jam, dua anggota polis berkenaan mungkin akan dikenakan tindakan lain bergantung kepada hasil siasatan.

"Kita tidak mahu perkara ini menjejaskan imej polis, dan mereka (anggota polis tidur) mesti tegas dan perlu melaksanakan tugas dengan tekun dan berkesan dan bukan tidur ketika melaksanakan tugas.

"Tindakan serupa bukan saja telah diambil terhadap dua anggota yang tidur itu, banyak lagi kes yang hampir serupa kita ambil tindakan dalaman," katanya. 

- Sumber: Bernama

'Jelaskan hubungan Zeti Akhtar dengan Rafizi Ramli' - JMM

Hamdan (tengah) menyampaikan memorandum kepada Gabenor Bank Negara mengenai Rafizi Ramli di bawah Akta BAFIA 1989, kepada wakil pegawai Bank Negara.

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini sudah gusar dan hilang kepecayaan kepada bank-bank di negara ini khususnya tentang kerahsiaan akaun mereka kerana ia mudah digunakan pihak-pihak tertentu demi kepentingan peribadi mahupun survival politik mereka.

Kenyataan tersebut terkandung dalam sebuah memorandum kepada Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengenai Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dikatakan melanggar Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh pihak Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

“JMM menggesa pihak Gabenor Bank Negara untuk mengambil kira dengan serius kepentingan Akta BAFIA (1989).

“Ini berhubung tindakan Rafizi yang bebas menggunakan maklumat akaun pelanggan bank sebagai alat politik beliau sejak tahun 2012,” kata Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd. Salleh yang ditemui di pekarangan Bank Negara hari ini.

Menurutnya, sesiapapun tidak boleh sewenang-wenangnya mendapat maklumat daripada bank lantas mendedahkannya kepada media dan umum atas kepentingan peribadi apatah lagi demi kepentingan politik.

Tambah Hamdan, pihak Bank Negara terutamanya Gabenor perlu memberi pencerahan kepada masyarakat terutamanya kepada pemegang-pemegang akaun bank di Malaysia tanpa mengira latar kewarganegaraan, yang risau dengan pendedahan yang begitu mudah dibuat.

Pendedahan maklumat itu, menurutnya, dikhuatiri mudah dibocorkan individu-individu tertentu melalui akses lisan, tulisan atau cetakan hanya kerana pihak yang meminta maklumat ada jaringan hubungan yang baik dengan pihak bank.

“JMM ingin mengetahui apakah hubungan Gabenor Bank Negara dengan Rafizi yang masih bebas dan tidak didakwa walaupun telah melanggar Seksyen 87(1)(a) Akta BAFIA 1989?

“Zeti Akhtar harus menjelaskan kepada rakyat Malaysia supaya semua pemegang akaun bank termasuk pelabur yang ada di negara ini akan rasa selamat dengan akta tersebut.

“Beliau juga perlu membersihkan nama beliau, termasuklah dengan memberi pengakuan mengenai pertalian sebenar beliau dengan Rafizi, jika ada,” ujar Hamdan yang menyatakan bahawa pencerahan itu perlu demi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap institusi perbankan.

JMM menggesa Bank Negara Malaysia mengadakan sidang media untuk menjawab perkara tersebut dalam masa tiga hari.

Pada Ogos 2012, Rafizi pernah ditahan polis selepas didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta BAFIA dan kesnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bank Negara Malaysia juga pernah memanggil Rafizi untuk memberi testimoni di bawah Akta BAFIA berkaitan kes Pusat Fidlot Nasional (NFC).

- Sumber: Astro Awani