Wednesday, 18 March 2015

Pencuri tertinggal telefon bimbit

Hashim dan Nursyafiqah menunjukkan laporan polis yang dibuat.

KULIM - Seorang remaja yang sedang tidur berdepan detik cemas apabila biliknya dimasuki pencuri dalam satu kejadian di rumahnya di Karangan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, suspek yang dikenali mangsa berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM300, namun tercicir telefon bimbitnya ketika melarikan diri melalui tingkap.

Mangsa, Nursyafiqah Hashim, 14, berkata, kejadian itu disedarinya kira-kira jam 2 pagi apabila suspek cuba mendekatinya ketika sedang tidur.

"Saya terkejut dan cuba membuka lampu namun suspek menarik saya sehingga terduduk.

"Saya nak jerit tapi mulut ditekup dan leher dicekik sehinggalah saya gigit tangan suspek. Dia pun lepaskan tangan saya," katanya kepada Sinar Harian.

Nursyafiqah berkata, selepas menjerit, suspek itu terus melarikan diri melalui tingkap.

"Saya terus buka lampu dan waktu itu juga saya tak sedar rupanya tangan saya sudah cedera berdarah ditikam pencuri," katanya.

Bapa mangsa, Hashim Osman, 50, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta dua lagi anaknya tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan.

"Tapi seorang lagi anak perempuan saya yang berada di bilik berlainan terdengar bunyi bising di tingkap namun tak mengendahkannya.

"Sebelum ini ada juga kejadian kecurian berlaku dan kehilangan wang, namun mereka tak masuk ke dalam rumah. Hanya guna kayu dengan mengait seluar yang digantung bagi mendapatkan wang yang ditinggalkan dalam kocek," katanya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes akan disiasat.

- Sumber: Sinar Harian 

Remaja 17 tahun pengantin termuda

Pengantin berarak sebelum memasuki dewan untuk bersanding.

MUAR - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun menjadi pengantin termuda daripada 26 pasangan yang dinikahkan pada Majlis Walimatulurus Perdana Daerah Muar 2015 di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.

Norazlina Faezzlin Radzali dan suaminya, Mohd Azumali Wagi, 25, mengambil keputusan berkahwin selepas mendapat restu bapanya, Radzali Atan, 54.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, meskipun baharu menamatkan persekolahan tahun lalu, dia tidak menyesal mengambil keputusan berkahwin awal kerana menganggap jodohnya sudah tiba.

Baginya, bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman seperti itu (nikah ramai-ramai) dan kenangan ini akan menjadi momen terindah dalam hidup mereka.

“Usia bukan penghalang untuk bergelar isteri, tetapi yang penting kesediaan individu memikul tanggungjawab sebagai isteri pada usia muda,” katanya.

Norazlina Faezzlin berkata, kepada pasangan muda lain yang berniat berkahwin awal, teruskan hasrat jika sudah bersedia.

Namun katanya, mereka perlu mendapatkan restu kedua ibu bapa dahulu supaya perkahwinan dibina beroleh keberkatan dan kekal bahagia.

Radiah Jasa, 21, pula berkata, pakej RM1,900 yang disediakan Pejabat Kadi Daerah Muar, sangat membantu meringankan bebannya dan pasangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Tawaran seperti ini juga membolehkan saya menyegerakan perkahwinan yang dirancang dilaksanakan tahun ini.

“Amat bagus sekiranya tawaran ini diteruskan pada tahun akan datang supaya lebih ramai lagi pengantin berpeluang merasai kelebihan yang saya peroleh ini,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, seramai 26 pasangan dari seluruh negara antaranya Johor, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan menyertai program itu dengan bayaran RM1,900 untuk setiap pasangan.

Menurutnya, promosi perkahwinan ini dilakukan menerusi risalah, banting dan Facebook bertujuan meringankan beban dan memudahkan pasangan melangsungkan perkahwinan.

- Sumber: Sinar Harian