Friday, 13 March 2015

Polis tembak mati anggota kongsi gelap

Anggota polis dari Unit Forensik memeriksa kenderaan milik suspek dipercayai anggota kongsi gelap 35 yang ditembak mati oleh sepasukan Polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam kejadian berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Languna Merbok di sini 

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok di sini hari ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata dalam kejadian kira-kira jam5.30 petang itu, K.Sujenthiran, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 35, bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan polis cuba menghampiri kenderaan suspek.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam yang dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika itu anggota polis keluar dari kenderaan dan memberi amaran kepada suspek. Selepas itu terdengar beberapa das tembakan dari dalam kenderaan suspek sebelum berlakunya tembakan balas oleh polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.

Beliau berkata suspek itu, yang berasal dari Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang, Bedong di sini, menggunakan sepucuk pistol semi auto buatan Republic Czech jenis Luger kaliber 9mm.

Mohd Nashir berkata lelaki itu merupakan suspek utama yang dikehendaki berhubung penemuan mayat dengan kesan tembakan di kepala di Ladang Kelapa Sawit, Sidam Kiri di sini pada 16 Sept tahun lalu.

Beliau berkata polis juga mengesyaki suspek yang tidak bekerja dan terlibat dalam pengedaran dadah turut terlibat dalam satu lagi kes bunuh di Kota Setar serta kes membakar motosikal. 

- Sumber: Bernama

Abby nafi bernikah kali ketiga

Abby Abadi menafikan dirinya berkahwin- Foto Instagram Abby Abadi

SELEBRITI Abby Abadi menafikan dirinya berkahwin untuk kali ketiga dengan seorang ustaz baru-baru ini.

Abby memaklumkan mengenai perkara ini menerusi akaun Instagramnya sekali gus menjawab semua persoalan yang berlegar selama ini.

“Pagi ni.. pening nak jawab mesej tahniah kata dah nikah. Adeh.. Senang gila percaya gosip. Tiada la.. Sekali lagi saya ulang buat masa ini tiada. 

"Bila saya jawab tak dalam mesej pagi ni, ada yang kata nak rahsia la tu. Aduhai.. Rahsiakan untuk apa? Dah memang tiada. 

"Belum sampai jodoh lagi sebab.. Entahlah.. Panjang nak cerita..,” tulis Abby dalam laman Instagramnya.

Baru-baru ini, Abby Abadi didakwa telah berkahwin dengan seorang ustaz apabila sekeping foto di Instagram ustaz terbabit memaparkan beliau menghulur senaskah al-Quran kepada wanita mirip Abby dengan kapsyen seakan-seakan sudah memperisterikan wanita tersebut.

- Sumber: Sinar Harian