Thursday, 12 March 2015

Isteri Awie akan beri keterangan hari ini dalam kes cederanya

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memberitahu media bahawa pihak pendakwaan akan memanggil dua orang saksi untuk memberi keterangan esok termasuk Rozana. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Isteri penyanyi rock Awie, Rozana Misbun akan memberi keterangan di Mahkamah Majistret Khamis pada perbicaraan kes suaminya yang didakwa mencederakannya.

Selepas prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memberitahu media bahawa pihak pendakwaan akan memanggil dua orang saksi untuk memberi keterangan Khamis termasuk Rozana.

Rozana yang berkemeja putih dan berseluar hitam hadir di mahkamah Rabu.

Pada 4 Julai tahun lepas, Awie, 47, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana, 37, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu saksi ketiga, Sarjan Nasir Mohamad, 54, dari bahagian pentadbiran jabatan audio dan video makmal forensik Polis Diraja Malaysia dalam keterangannya berkata bahawa beliau menerima satu sampul surat yang mengandungi sebuah telefon bimbit untuk dianalisis pada 9 Sept tahun lepas.

"Saya memeriksa telefon tersebut dan mendapati terdapat satu 'simcard' dan satu kad memori jenama Transcend.

"Saya kemudiannya mencatatkan butiran barang itu di borang akuan terima barang kes bagi memastikan barang kes yang akan diserahkan kepada juruanalisis berdasarkan apa yang tertulis di borang itu," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Goh.

Nasir berkata pada hari sama, beliau menyerahkan barang kes yang diletakkan di dalam sampul surat plastik bertutup itu kepada Insp Latifah Abdul Aziz, 34, yang bertugas sebagai juruanalisis imej alat elektronik di makmal forensik yang sama. 

Semasa disoal balas peguam Hazman Harun yang mewakili Awie, Nasir menafikan mengetahui keputusan analisis ke atas telefon bimbit itu kerana ia hanya diketahui oleh Latifah.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Ayuni Izzaty Sulaiman bersambung Khamis.

- Sumber: Bernama 

Hutang luar negara kini RM740 bilion - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Hutang luar negara Malaysia kini meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada RM740 bilion dalam suku ketiga tahun lepas daripada RM196 bilion pada akhir tahun lepas.

Dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PKR-Selayang), Kementerian Kewangan berkata kenaikan tinggi itu akibat 'takrifan baru' hutang luar negara.

"Dua pertiga tambahan hutang itu adalah akibat ramai warga asing membeli bon Malaysia, yang kini dianggap sebahagian hutang luar negara," kata jawapan itu.

Jumlah terkini turut didedahkan bahawa hutang kerajaan pusat mencecah RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam  Kasar (KDNK).

Pada akhir Jun 2013, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah hutang negara sebanyak RM284.7 bilion atau 28.8% daripada KDNK.

Kata Ahmad, hutang negara ialah hutang yang ditanggung oleh negara berikutan pinjaman yang diperoleh oleh kerajaan dan swasta daripada punca luar.

Jelasnya, hutang negara merangkumi hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam bukan kerajaan dan sektor swasta.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, negara telah mendefinisikan semula hutang luar negaranya kepada denominasi ringgit.

Katanya, definisi hutang luar negara diambil kira bukan dalam denominasi ringgit dan langkah mendefinisikan semula diambil berikutan kemajuan yang ketara dalam pasaran kewangan Malaysia yang dianggap sudah matang.

Dalam pada itu, dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Kementerian Kewangan memberitahu, baki dana pelaburan 1MDB yang diuruskan Caymen Monetary Authority adalah sebanyak RM4.087 bilion (USD1.103 bilion) dan masih disimpan dalam mata wang US Dollar di BSI Bank Limited Singapura.

"Keputusan untuk menggunakan bank bank di Singapura bertujuan memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM bagi setiap transaksi wang melebihi RM50 juta," kata jawapan itu.

Terdahulu, Tony Pua meminta penjelasan sama ada baki wang yang dituntut 1MDB daripada pelaburan di Caymen Island adalah berbentuk wang tunai atau masih dalam pegangan aset dan di manakah wang ini berada. 

- Sumber: Astro Awani