Monday, 9 March 2015

Tak sangka ayah pergi secepat ini - Anak Allahyarham Harun Salim Bachik

Jenazah dimaklumkan akan dikebumikan di Gombak pada esok hari. Allahyarham meninggalkan seorang balu, enam orang anak dan tiga orang cucu.

KUALA LUMPUR: Anak ketiga pelakon Allahyarham Harun Salim Bachik, Ikram Al Rashid, 26 mengakui bahawa dirinya masih terkejut dengan khabar pemergian bapanya hari ini.

Menurut Ikram, Allahyarham sememangnya menghidap asma dan penyakitnya itu semakin teruk beberapa bulan sejak kebelakangan ini.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Allahyarham adalah semalam ketika kami sekeluarga berkumpul di majlis perkahwinan sepupu di Pulau Pinang.

Dia ada berpesan mahu berjumpa saya bila pulang nanti. Itulah kata-kata terakhir Allahyarham kepada saya semasa majlis perkahwinan itu.

"Allahyarham memang menghidap asma sudah lama. Tapi saya tak sangka dia akan meninggalkan kami sekeluarga secepat ini kerana keadaannya yang kelihatan sihat ketika kami bertemu semalam,” kata Ikram ketika dihubungi Astro AWANI.

Namun begitu, Ikram tidak berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kerana pulang dahulu ke ibu kota.

“Hanya adik saya dan ibu saya, Suriyati yang ada dengan Allahyarham ketika beliau rebah. Jenazah berada ke Hospital Parit Buntar ketika ini,” beritahu Ikram mengakhiri perbualan dengan nada sebak.

Harun, 56 yang pernah popular dengan watak ‘gugurl’ dalam kumpulan Boboi bersama Afdlin Shauki meninggal dunia di Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak sekitar jam 5 petang tadi.

Jenazah dimaklumkan akan dikebumikan di Gombak pada esok. Allahyarham meninggalkan seorang balu, enam orang anak dan tiga orang cucu. 

- Sumber: Astro Awani 

MH370: Kini kita lebih yakin ia berakhir di Lautan Hindi - Pakar penerbangan

Fakta siasatan penerbangan MH370 memberi gambaran lebih jelas dan informasi lebih meyakinkan bahawa ia berakhir di Lautan Hindi. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Fakta mengenai penyiasatan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 memberi gambaran lebih jelas dan informasi lebih meyakinkan bahawa penerbangan itu berakhir di Lautan Hindi. 

Pakar Kanan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur Ahmad Maulan Bardai berkata data satelit yang dikumpul menunjukkan laluan lengkap penerbangan sebelum ia terputus hubungan sepenuhnya.

"Kini kita lebih yakin ia berakhir di Lautan Hindi.

"Analisis data dari Inmarsat menunjukkan penerbangan itu telah mengubah haluan setelah ia terbang melepasi Sumatra dan menuju arah selatan.

"Berdasarkan maklumat itu, adalah tepat pasukan mencari dan menyelamat mencari di Lautan Hindi," katanya kepada Bernama.

Laporan itu, yang dikeluarkan oleh Malaysian ICAO Annex 13 Safety Investigation Team for MH370 pada Ahad membutirkan rekod persiapan bagi penerbangan itu, komunikasi antara kokpit dengan kawalan lalu lintas udara, laluan penerbangan berdasarkan data satelit, kru dan kargo penerbangan malang itu. 

Maklumat pesawat dan sejarah penerbangan MH370 turut direkodkan alam laporan itu.

Ahmad Maulan berkata kapasiti minyak pesawat itu membolehkannya terbang menuju ke selatan. 

Laporan itu mendedahkan bahawa MH370 membawa 49,100 kilogram minyak untuk tahan terbang selama tujuh jam setengah. Tempoh penerbangan yang dirancang ialah lima lam 34 minit, katanya. 

"Pesawat itu boleh terbang 900 kilometer sejam. Dari masa ia berpatah balik, ia masih boleh terbang sejauh 5,400 kilometer lagi," kata Ahmad Maulan, dan menambah pesawat boleh melunsur untuk sejam lagi tanpa menggunakan minyak sebelum ia berakhir di Lautan Hindi.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata bateri isyarat (beacon) pengesan dalam air (ULB) rekoder data penerbagan, yang dilaporkan telah luput 14 bulan sebelum kemalangan, tidak mendatangkan impak besar terhadap rakaman oleh kerana rekoder itu beroperasi menggunakan kuasa pesawat. 

"Cuma agak malang, bila bateri itu luput ia tidak dapat memancarkan isyarat bila pesawat terhempas," katanya. 

Namun, beliau mengambil perhatian bagaimana bateri yang telah luput tidak ditukar dan ini terlepas perhatian dalam laporan audit keselamatan pesawat.

Ini, katanya, menimbulkan satu tanda tanya.  

- Sumber: Bernama