Monday, 9 March 2015

Arwah jatuh ketika ke tandas

Ahli keluarga Allahyarham mengiringi jenazah untuk dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk urusan lanjut.

BUKIT MERAH - Pelakon dan pelawak tanah air, Harun Salim Bachik, 55‎, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol sebentar tadi.

Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas ketika ke tandas di salah satu stesen minyak di RnR berkenaan.

Difahamkan Allahyarham bersama keluarga dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi sanak saudara sebelum berhenti sebentar di R&R.

Jenazah kini dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk urusan lanjut.

Pada masa sama, penyanyi terkenal, Datuk Hattan turut berada di tempat kejadian selepas dimaklumkan pelakon, Ebby Yus tentang pemergian Allahyarham untuk membantu bagi melancarkan pengurusan jenazah. ‎

- Sumber: Sinar Harian 

Harun Salim Bachik meninggal dunia

Harun Salim Bachik

PELAWAK tanah air, Harun Salim Bachik atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim meninggal dunia selepas rebah di hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak petang tadi.

Mengesahkan berita tersebut, rakannya, Afdlin Shauki berkata, kejadian berlaku sewaktu Allahyarham sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur.

“Innalillah.. Tolong doakan dan sedekahkan al-fatihah untuk sahabat saya yang telah pulang ke rahmatullah. Dia bukan saja kawan baik, berbakat tetapi sangat baik orangnya dan meninggalkan keluarganya yang tersayang.

“Semoga ALLAH SWT meletakkan beliau bersama roh orang-orang yang baik... Assalammualaikum abangku,” katanya seperti yang dipetik menerusi Facebooknya.
Menurut Afdlin lagi, ketika kejadian, Allahyarham turut ditemani anaknya.

Jenazahnya bakal dikebumikan di kediamannya di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

- Sumber: Sinar Harian | March 8, 2015