Thursday, 12 February 2015

Nuha: Saya sukar tidur malam

Nurul Nuha ketika menceritakan perasaannya dan keluarga ketika ini.

KUALA LUMPUR – “Terlalu banyak memori, sejujurnya kami memang tidak boleh tidur,” demikian luahan puteri kedua, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha ketika menceritakan perasaannya dan keluarga ketika ini.

Nuha berkata, perasaan sukar tidur itu datang kerana mereka sering memikirkan bagaimana keadaan bapanya di dalam penjara.

“Mungkin ada lipas dan sebagainya, entah papa boleh tidur atau tidak.

“Kami mahu kembali sebagai satu keluarga, pelukan terakhir papa sebelum meninggalkan kami, menyebabkan segala memori tahun 1998 ‘muncul semula’,” katanya lagi pada sidang media, di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan semalam, memutuskan Anwar bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bermula semalam di Penjara Sungai Buloh.

Berkata lanjut, Nuha menegaskan, walaupun sesukar mana kehidupan mereka sekarang, mereka sekeluarga akan terus kuat untuk meneruskan kehidupan.

“Jangan tunjukkan yang kita lemah, sebab nanti mereka akan kalahkan kita, kami akan teruskan perjuangan ini,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

'Penurunan tarif elektrik patut 10 peratus dan untuk sepanjang tahun'


FOMCA menggesa kerajaan mendedahkan harga sebenar semasa untuk pengeluaran 1kWh elektrik berdasarkan kos sebenar dan bagaimana 5.8 peratus itu diperoleh. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam sebuah kenyataan rasmi hari ini mengalu-alukan keputusan penurunan tarif elektrikoleh Kementerian Tenaga, Teknologi HIjau dan Air (KeTTHA).

Walau bagaimanapun, berpendapat bahawa pengurangan sebanyak 2.25 sen per jam kilowatt (kWh) di Semenanjung dan 1.20 sen/kWh di Labuan dan Sabah, yang hanya berkadar 5.8 peratus dari 1 Mac hingga 30 Jun 2015 adalah tidak signifikan.

“Kami di FOMCA sebenarnya melihat kadar penurunan sebanyak 10 peratus pada tarif elektrik purata berdasarkan harga minyak antarabangsa dan kami mendesak agar penurunan 10 peratus dapat dikuatkuasakan sepanjang tahun.

“Tempoh tiga bulan adalah terlalu pendek untuk kita melihat kesannya dan untuk diadaptasi oleh perniagaan. Untuk melihat penjimatan yang sebenar bagi rakyat, pelaksanaan tarif baharu selama tiga bulan adalah tidak mencukupi,” kata kenyataan media tersebut.

FOMCA menggesa kerajaan untuk mendedahkan harga sebenar semasa untuk pengeluaran 1kWh elektrik berdasarkan kos sebenar dan bagaimana 5.8 peratus itu diperoleh.

FOMCA juga mahukan maklumat tentang jumlah penjimatan yang boleh dicapai oleh pengguna berdasarkan penurunan tarif tersebut serta sejauh mana harga barangan akan turut mengalami penurunan.

Sebuah petisyen telah dilancarkan untuk mendesak kerajaan Malaysia menurunkan lagi tarif elektrik sehingga 10 peratus selain menguatkuasakan tarif baharu itu sepanjang tahun 2015.

Sasaran persetujuan sejuta orang diperlukan untuk mencapai sokongan dalam usaha menurunkan harga barang dengan berkesan.


- Sumber: Astro Awani