Wednesday, 4 February 2015

Suami isteri menangis teresak-esak

Dua pasangan suami isteri ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri warga Indonesia menangis teresak-esak selepas masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan satu bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

Keputusan itu dibuat selepas Sahil Sahe, 29, dan isterinya, Juri, 32, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen sah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa berada di negara ini secara menyalahi undang-undang kerana tidak memiliki pas sah memasuki negara ini ketika ditahan di sebuah kilang di Jalan Kuala Berang-Kampung Wakaf Tapai, Marang, 11.45 pagi, pada 19 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Sahil manakala isterinya pula dipenjarakan selama satu bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu Farah Hanim Abdul Rashid.

Terdahulu di mahkamah sama, sepasang suami isteri juga warga Indonesia turut dijatuhi hukuman penjara masing-masing empat bulan dan satu bulan penjara kerana tinggal lebih masa di negara ini dan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.

Hukuman itu diputuskan Mohd Azhar selepas Agusalem, 25, dan isterinya, Ashawiyah, 29, masing-masing mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Sementara itu, suasana di pekarangan mahkamah sama bertukar hiba apabila dua pasangan berkenaan mula menangis selepas dibenarkan bertemu seketika sebelum masing-masing dibawa ke penjara bagi menjalani hukuman.

- Sumber: Sinar Harian 

Pendaki Jepun tergelincir di Gunung Kinabalu

Mangsa Yoshimasa Maekawa, 65, cedera di kepala dan muka ketika sedang turun 7.3 kilometer dari puncak gunung Kinabalu. - Foto Fail Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang pendaki warga Jepun tergelincir ketika sedang turun dari puncak Gunung Kinabalu kira-kira pukul 7.45 pagi Selasa.

Menurut kenyataan Taman-Taman Sabah di sini hari ini, mangsa Yoshimasa Maekawa, 65, cedera di kepala dan muka ketika sedang turun 7.3 kilometer dari puncak gunung setinggi 4,095 meter itu.

Kakitangan Taman-Taman Sabah dengan bantuan beberapa orang Malim Gunung atau pemandu pelancong memberi rawatan awal kepada mangsa dan mengusungnya turun ke Laban Rata iaitu pada ketinggian 3,272 meter gunung tersebut.

Sebuah helikopter Sabah Air kemudian membawa Yoshimasa ke pekan Kundasang sebelum dia dibawa ke Hospital Ranau menaiki ambulans.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, pihak Taman-Taman Sabah memohon kerjasama para pendaki lain supaya sentiasa mengambil langkah berhati-hati sepanjang pendakian. 

- Sumber: Bernama