Sunday, 1 February 2015

Sembilan lanun ditahan cuba merompak kapal minyak

Hasil siasatan awal mendapati kesemua lanun tersebut berjaya mengambil alih kapal semasa kapal bersauh dengan menggunakan tiga pistol mainan, parang, kerambit dan tukul besi.

SEDILI: Cubaan sembilan lanun untuk merompak sebuah kapal membawa muatan kargo minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) sebanyak 700 metrik tan yang bernilai RM900,000 berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Kejadian berlaku di kedudukan dua batu nautika Tanjung Ayam, Perairan Pengerang, Kota Tinggi Johor selepas agen kapal yang dirompak MT Sun Birdie memaklumkan kapal mereka tidak dapat dihubungi kepada pihak berkuasa pada 29 Januari lalu jam 11 pagi.

Bertindak atas maklumat, aset APMM termasuk sebuah pesawat udara digerakkan dan berjaya menemui kapal tersebut pada hari sama kira-kira jam 10.45 malam di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang Perairan Pengerang.

Pengarah Operasi Wilayah Selatan, Laksmana Pertama Maritim Ibrahim Mohamed berkata hasil pemeriksaan mendapati 17 orang berada dalam kapal tersebut dimana 10 kru kapal telah diikat.

Manakala tujuh lanun menyamar sebagai kru kapal dan dua lagi telah terjun ke laut setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa, tetapi berjaya ditahan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi Johor.

Jelas Ibrahim, sembilan lanun berwarganegara Indonesia berumur 26 hingga 48 tahun itu menggunakan modus operandi merompak kapal dan seterusnya menjual minyak kepada kapal lain sebagai pembeli yang telah diaturkan dengan harga RM600,000.

Katanya hasil siasatan awal mendapati kesemua lanun tersebut berjaya mengambil alih kapal semasa kapal bersauh dengan menggunakan tiga pistol mainan, parang, kerambit dan tukul besi.

Pihaknya percaya kesemua lanun itu dibawa menggunakan bot pancung dari Tanjung Sengkuang Batam oleh rakan mereka sebelum merompak kapal terbabit.

Kesemua lanun dan kru kapal sebenar iaitu tiga warganegara Indonesia dan tujuh warganegara Myanmar ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (Akta 547) dan akta berkaitan.

- Sumber: Astro Awani 

JDT menang Piala Sumbangsih

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun dicabar pemain Pahang Mohd Razman Roslan, ketika menanduk bola pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru hari ini.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya merangkul kejuaraan pertama musim ini selepas menewaskan Pahang 2-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2015, Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, malam ini.

Gol pertama JDT berjaya dijaringkan oleh Marcos Antonio hasil sepakan sudut pada minit ke-36.

JDT kemudiannya, berjaya menggandakan jaringan hasil sepakan dari Luciano Figueroa pada minit ke-58.

Kemenangan ini memberi makna kepada JDT yang sebelum ini kalah dengan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Selaku juara Liga Super musim lalu, JDT dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan gelaran mereka musim ini.

Kemenangan menentang Pahang ini pastinya akan membakar semangat anak buah Bojan Hodak untuk terus beraksi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia 2015.

- Sumber: Sinar Harian