Tuesday, 27 January 2015

Mazda2 dilancarkan. RM87,956

Ciri-ciri standardnya, aloi 16 inci, sensor undur, kamera undur, kerusi kulit, lampu kabut hadapan, sistem pendingin automatik dan sistem audio (dengan sambungan Bluetooth, aux, USB dan slot kad SD).

Untuk lanskap automotif Malaysia, segmen-B bukanlah tempat utama untuk mencari model-model yang boleh menerajui pilihan pertama kami. Biasanya ia diisi oleh kereta-kereta yang sangat praktikal dan lebih murah; tetapi ia juga bukanlah dipasang dengan ciri-ciri keselamatan ataupun ‘creature comfort’ yang terbaik.

Tetapi Mazda mengubah klise itu dengan model Mazda2 terbaharu yang dilancarkan serentak dengan pembukaan pusat cat dan kenderaan di Glenmarie, Subang. Sepertimana generasi sebelumnya, model ini didapati di dalam varian hatchback dan sedan di mana kedua-duanya dijual dengan harga RM87,956 (termasuk insurans). Kereta ini diimport sepenuhnya daripada Thailand.


Ini ditambah lagi dengan pelbagai lagi komponen yang sukar ataupun tidak pernah dilihat pada kereta segmen-B pada harga ini; ini termasuk ‘keyless entry’ dan sistem ‘push start’, sistem kawalan cengkaman (traction control), lampu DRL, ‘paddle shifter’; dan terutamanya ‘heads-up display’serta sistem Mazda Connect dengan skrin 7 inci. Sistem navigasi adalah satu ciri pilihan, yang boleh dibeli dengan harga RM1,200.

Rekaan

Mazda2 mengikuti model-model CX-5, Mazda6 dan Mazda3 untuk menjadi model keempat untuk digayakan dengan rekaan Kodo – Soul of Motion. (Juga teknologi Skyaktiv yang akan diterangkan selepas ini).

Pada pendapat kami, yang paling menarik untuk diceritakan mengenai Mazda2 ini adalah keseimbangan diantara hatchback dan sedan. Pada generasi sebelum ini, versi sedan jauh ‘kurang menarik’ berbanding hatchback. Untuk Mazda2 baharu ini, kedua-dua varian sama bergaya.

Lampu hadapan adalah jenis halogen manakala belakang pula adalah mentol biasa. Saiz tayar adalah 185/60/16.

Dalaman

Jelas bahawa tumpuan yang banyak telah diberikan untuk memastikan kabin serta papan pemuka Mazda2 adalah yang terbaik di dalam kelasnya. Ia kelihatan mewah dan moden, ditambah dengan skrin 7 inci untuk memberi maklumat relevan mengenai pelbagai sistem kereta ini.


Pemasangan sistem navigasi GPS juga adalah menyeluruh dan terus disambung ke sistem Mazda Connect.

Lebih daripada itu, sistem ‘heads-up display’ yang dikenali sebagai Active Driving Display mempamerkan maklumat-maklumat seperti kelajuan tanpa perlu menoleh daripada arah tuju pemanduan. Maklumat navigasi juga boleh ditunjukkan jika pilihan itu dipilih.

Sistem audio dipadankan dengan 6 speaker.

Ruang bagasi di dalam boot jauh berbeza diantara hatchback dan sedan, iaitu 220 liter berbanding 410 liter.

Skyaktiv
Enjin Skyaktiv ini adalah dengan kapasiti 1496cc, dengan output sebanyak 114hp dan 148Nm tork pada tayar hadapan. Kotak gear pula adalah automatik Skyaktic 6-kelajuan.


Berbeza dengan pengeluar lain yang cuba mencapai imbangan prestasi, penggunaan bahan api terendah dan pengeluaran gas ekzos paling rendah menerusi kombinasi ‘downsizing’ (sesaran enjin lebih kecil) dan penggunaan pengecas turbo; Skyaktiv oleh Mazda menggunakan falsafah yang berlainan. Antara lain adalah penggunaan nisbah tekanan di dalam silinder lebih tinggi dan kecekapan enjin lebih baik.



- Sumber: Astro Publication 

Gary bakal jalani latihan bersama kelab gergasi Jerman

PBNJ memaklumkan Gary (kanan) yang sah menyarung jersi JDT musim ini, bakal menjalani latihan di sana selama tempoh penggantungan tersebut. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat yang kini digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak selama tiga bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bakal menjalani latihan bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) memaklumkan pemain berkenaan yang sah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini, bakal menjalani latihan di sana selama tempoh penggantungan tersebut.

"Semoga Gary akan menggunakan peluang ini untuk mempertingkatkan mutu permainan beliau dan seterusnya dapat memantapkan lagi pasukan JDT," demikian menurut PBNJ menerusi laman Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers, hari ini.

Untuk rekod, PBNJ menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab yang berpangkalan di Dortmund itu pada 22 Dis lepas sebagai salah satu usaha untuk memantapkan pembangunan bola sepak di Johor terutamanya di peringkat akar umbi.

Kerjasama itu diadakan susulan kunjungan Pengarah Pembangunan Belia Borussia Dortmund, Edwin Boekamp ke atas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Presiden PBNJ pada 16 dan 17 Okt tahun lepas.

Jawatankuasa Status Pemain FAM yang bersidang pada 16 Jan lepas, mengenakan penggantungan selama tiga bulan selain denda RM50,000 ke atas Gary kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain dengan menandatangani kontrak bersama JDT dan Pahang.

- Sumber: Bernama