Wednesday, 21 January 2015

Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 10,512 orang


Mangsa banjir di Kuching menjamah makanan yang disediakan di pusat pemindahan banjir SK St Peter. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk apabila jumlah mangsa yang direkodkan semakin meningkat.

Setakat 9 malam ini, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sarawak mencecah 10,512 orang berbanding 10,103 orang petang tadi manakala jumlah mangsa di Sabah turut meningkat kepada 709 orang berbanding 307 petang tadi.

Angka ini tidak termasuk di Beaufort yang sehingga 10.30 malam, jumlah mangsa belum dapat diperolehi.

Sementara di Kelantan dan Perak pula jumlah mangsa masih kekal seperti yang direkodkan petang tadi iaitu masing-masing sebanyak 255 dan 78 orang.

Di SARAWAK, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata 54 pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri iaitu 35 pusat pemindahan di Kuching dengan menempatkan 7,337 mangsa, Samarahan sebanyak 13 pusat pemindahan (2,079 orang), Mukah satu pusat pemindahan (78 orang) dan lima pusat pemindahan di Limbang (1,018 orang).

Sehingga kini 32 sekolah di Sarawak ditutup akibat banjir dan keadaan cuaca kini dilaporkan bertambah baik di rata-rata tempat di seluruh negeri.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di Tenom kini mencecah 320 orang dengan 198 orang ditempatkan di empat pusat pemindahan dan selebihnya berpindah ke rumah saudara mara.

Di Membakut pula jumlah mangsa yang ditempatkan di satu pusat pemindahan turut meningkat kepada 299 orang, manakala jumlah mangsa terkini di Keningau kekal 90 orang seperti yang direkodkan petang tadi.

Bagaimanapun, jumlah terkini mangsa di Beaufort tidak dapat diperolehi memandangkan proses pemindahan mangsa sedang dilakukan dan rekod jumlah mereka yang dipindahkan setakat petang tadi hanya 22 orang.

Sementara di KELANTAN pada malam ini jumlah mangsa masih kekal sejak semalam iaitu seramai 255 orang melibatkan 62 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Jurucakap MKN Kelantan berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir yang berlaku bulan lepas.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir masih tidak berubah dengan 78 orang daripada 19 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir setakat malam ini.

- Sumber: Bernama

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tenat tapi stabil

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tenat, menurut anaknya Nik Abduh.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 83 tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Neuro, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berada dalam keadaan tidak sedarkan diri namun stabil.

Menurut anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, ayahnya dimasukan ke unit berkenaan petang semalam.

Keadaan ayahnya stabil namun berada dalam keadaan tidak sedar kerana kesan ubat yang diberikan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar unit rawatan rapi selepas melawat ayahnya malam tadi.

“Perkembangan ayahanda setakat ini dia agak uzur dan ayah memerlukan rawatan rapi dan pihak doktor sudah buat terbaik dan ayah stabil cuma dia dalam sedar tak sedar sebab masuk ubat..ayah menghidap kanser prostat dan doktor berkata ayah perlu rawatan rapi dan penafasan dia stabil, saya harap semua berdoa lah.” ulas Nik Abduh ketika ditemui di HUSM Kubang Kerian.

Katanya ayahnya mengidap kanser prostat dan pihak doktor kini sedang berusaha yang terbaik dalam memberikan rawatan.

Pada masa ini ayahnya menggunakan alat bantuan alat penafasan.

Ayahnya sebelum ini mendapatkan rawatan kimoterapi dan kesihatan ayahnya mulai menurun selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri, DUN Pengkalan Kubor, September tahun lepas.

Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan sebelum ini pernah melakukan pembedahan pintasan jantung dan beberapa tahun lalu beliau dikesan mengidap kanser prostat.

Nik Aziz melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan kepada penggantinya Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum 2014.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka juga melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

- Sumber: Astro Awani