Sunday, 18 January 2015

'Penunggang motosikal bukan punca kemalangan maut'



Gambar fail kemalangan maut di jalan raya yang membabitkan penunggan motosikal.

KUALA LUMPUR: Stigma sesetengah masyarakat bahawa kecuaian penunggang motosikal menyebabkan kemalangan perlu diubah, kata penulis bebas yang juga penunggang motosikal berpengalaman, Ibni Khalid Jurait.

Ibni Khalid berkata, 80 peratus daripada 44 punca kemalangan maut motosikal bukan disebabkan penunggang sebaliknya, pemandu kenderaan lain yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan maut itu.

Katanya, melalui pengalaman menunggang pelbagai jenis motosikal sejak 30 tahun lalu, beliau melihat masih ramai pengguna jalan raya yang tidak ambil peduli dengan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya.

Bagaimanapun beliau mengakui penunggang motosikal yang masih muda dan bersekolah memerlukan lebih banyak pengalaman pemanduan untuk mengelak berlaku kemalangan jalan raya.

"Pelajar sekolah tidak ada lesen, kalau ada mentah lulus tapi cuai sebab (tiada) pengalaman, tak jangka kemungkinan akan berlaku," katanya di majlis pelancaran buku tulisan beliau yang bertajuk '44 Punca Kemalangan Maut Penunggang Motosikal'.

Penerbitan buku itu diharap menjadi panduan kepada agensi kerajaan terutamanya sebagai bahan sokongan mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Antara punca utama yang digariskan dalam buku itu adalah kerana blind spot(titik buta) pemandu kereta, tidak prihatin dengan papan tanda, memandu laju dan memotong di laluan kiri.

Tuga ribu buah buku tersebut diedarkan di pasaran dengan sasarannya golongan muda terutamanya pelajar sekolah. 

- Sumber: Astro Awani 

Epal jenis Gala, Granny Smith disekat masuk ke Malaysia



Gambar fail epal jenis Gala (merah) dan Granny Smith. Kedua-dua jenis epal ini telah disekat masuk ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis. - Sumber: foodsafetynews.com

BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sekatan itu dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) selepas notis berkaitan pencemaran itu diterima kementerian dua hari lalu.

"Kita menerima notis daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika yang memaklumkan tentang insiden pencemaran itu dan difahamkan ia telah menyebabkan tiga kematian dan ramai yang sakit di Amerika dan Kanada," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan 'Program Servis Motosikal Pasca Banjir Parlimen Bera' di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk menarik semula epal jenis itu yang telah berada di Malaysia, kerana ia melibatkan soal pemakanan di bawah Kementerian Kesihatan.

Isu berkaitan larangan pengambilan epal terbabit telah tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Malah sebuah portal media turut melaporkan bahawa penularan bakteria itu dikesan di sebuah pusat pemprosesan epal Bidart Bros dekat Bakersfield, California melibatkan epal yang disaluti karamel.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang berkata pihaknya sedang menyelaras jumlah mangsa yang terperangkap banjir, melibatkan 23,000 keluarga bagi tujuan pengagihan wang ihsan RM500.

"Kita juga sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai rumah yang rosak atau terjejas teruk semasa banjir untuk tujuan pembinaan rumah sementara dan rumah baharu kepada mereka," katanya.

Pada program itu, sebanyak 350 buah motosikal yang rosak akibat banjir dibaiki secara percuma, melibatkan usahasama antara Shell Malaysia, Naza Motor Trading Sdn Bhd dan GiatMara. 

- Sumber: Bernama