Friday, 9 January 2015

Hari ke-13: Empat lagi jasad ditemui

Jumlah mangsa yang ditemui sehingga kini ialah 48

JAKARTA: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) pada Jumaat telah menemui empat lagi mayat mangsa penerbangan AirAsia QZ8501, lapor agensi berita Indonesia Antara seperti yang dipetik oleh Bernama.

Menurut ketua Basarnas, F. Henry Bambang Soelistyo, setakat ini 48 mayat telah dijumpai di mana 41 daripadanya dari Surabaya, lima dari Pangkalan Bun, dan dua masih di atas kapal Geo Survey.

Kebanyakan mayat yang dijumpai akhir-akhir ini telah ditemui oleh pasukan penyelam kerana didapati masih terikat di tempat duduk penumpang.

Beberapa penyelam telah dikerahkan untuk operasi mencari setelah Kapal Geo Ukur mengesan objek di dasar laut.

Hasil pencarian telah berjaya menemui dua mayat yang masih terikat pada tali pinggang keselamatan di tempat duduk penumpang.

Terbaharu, pasukan pencari turut menemui bahagian ekor pesawat yang menempatkan kotak hitam pesawat terbabit pada Rabu.

Pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 28 Disember 2014 jam 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama sebelum dilaporkan hilang daripada pemantauan menara kawalan.

- Sumber: Astro Awani 

Indonesia bom kapal nelayan Malaysia

  • Gambar menunjukkan kapal milik nelayan Malaysia yang diletupkan semalam. - Foto ihsan Kompas.com
  • Gambar menunjukkan kapal milik nelayan Malaysia yang diletupkan semalam. - Foto ihsan Kompas.com

BELAWAN - INDONESIA. Pihak berkuasa Polda Sumut dilaporkan telah meletupkan sebuah kapal nelayan milik Malaysia, baru-baru ini.

Kapal tersebut yang bernombor pendaftaran PKFA 7738 ditangkap selepas menceroboh dan menangkap ikan di Pandan Islet.

Memetik laporan Jakarta Post, Ketua Polis Sumatera Utara, Irjen Eko Hadi Sutedjo, kapal tersebut diletupkan menggunakan dinamit setelah mahkamah membenarkan tindakan tersebut.

Disember lepas, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno mengesahkan cadangan pengeboman kapal asing yang menangkap ikan secara haram di perairan negara itu.

“Anak kapal akan diselamatkan terlebih dahulu, kemudian apabila kapal sudah kosong baru dibom untuk menenggelamkannya.

“Ia sebagai pengajaran kepada semua penangkap ikan agar tidak mengulangi perbuatan salah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, sebarang tindakan hanya akan diambil kerajaan Indonesia setelah keputusan mahkamah diperoleh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Amdan Kurish menafikan ada perbincangan dengan Indonesia mengenai cadangan tersebut.

"Kita tak pernah berbincang mengenainya. Mungkin itu dasar baru Indonesia dan kita akan rujuk balik dengan Bakorkamla,” ulasnya.

MoU yang ditandatangani bersama Maritim dan Badan Koordinasi Keamanan Laut Indonesia (Bakorkamla) pada 2012 hanyalah berkaitan tindakan menghantar pulang atau menangkap nelayan yang menceroboh perairan negara jiran.

- Sumber: Sinar Harian