Friday, 9 January 2015

Gempar lihat awan berbentuk aneh

  • Awan membentuk seperti ribut pasir yang dapat dilihat dengan jelas di Manjoi kelmarin.
  • Awan membentuk seperti ribut pasir yang dapat dilihat dengan jelas di Manjoi kelmarin.

MANJOI - Penduduk di sekitar Manjoi dan beberapa kawasan berhampiran digemparkan dengan fenomena aneh apabila awan dilihat membentuk seperti ribut pasir petang kelmarin.

Seorang penduduk, Jaafar Uthman, 55, berkata, pada kira-kira 6.30 petang, langit tiba-tiba dipenuhi gumpalan awan hitam bertingkat-tingkat.

Menurutnya, fenomena selama 30 minit dan pertama kali dilihat di kawasan Manjoi itu kemudiannya diselangi hujan lebat dan angin kencang.

“Sebagai orang biasa, bila tengok keadaan cuaca dan awan seperti itu, kita bayangkan hujan akan turun dengan lebat. Apa, mengapa dan bagaimana fenomena itu berlaku memang tidak tahu. Inilah kekuasaan ALLAH SWT yang menjadikan awan itu sedemikian rupa,” katanya.

Mazlan Mokhtar, 43, pula berkata, dia dan isteri yang kebetulan berada di luar rumah juga terpegun melihat awan tersebut.

Katanya, mereka menjangkakan hujan lebat memandangkan angin bertiup kencang hingga tikar di dalam rumah terangkat.

Sementara itu, Ramlee Zakaria, 47, berkata, fenomena itu juga dapat dilihat dari rumahnya di Taman Meru sejak jam enam petang kelmarin.

Katanya, pada mulanya keadaan itu umpama asap dari kebakaran bagaimanapun dia kemudiannya ternampak awan kecil bergerak serta berkumpul dan akhirnya hujan lebat berserta angin kencang.

“Memang kejadian ini kali pertama saya lihat. Saya tidak terkejut dengan keadaan itu malah menganggap ia fenomena biasa yang jarang berlaku di tempat kita,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Tuah nelayan bela Miow

Zulkipli menunjukkan barang berharga yang ditemuinya sambil meriba Miow.
Zulkipli menunjukkan barang berharga yang ditemuinya sambil meriba Miow.

ROMPIN – Seorang nelayan yang tinggal di Kampung Perepat, di sini, tidak menyangka keputusannya memelihara seekor anak kucing yang dijumpai di pinggir hutan berhampiran rumahnya empat tahun lalu membawa kepada penemuan objek misteri yang tertanam di tepi kediamannya.

Menurut Zulkipli Sulong, 46, kucing betina yang diberi nama Miow itu telah melahirkan lima ekor anak tahun lalu, namun seekor daripadanya mati.

"Bila anak kucing tu mati, saya cadang nak tanam di tepi rumah sahaja. Sedang saya gali lubang kubur untuk anak kucing tu, tiba-tiba mata alat penggali yang saya guna terkena objek keras macam besi.

"Saya gali lagi dan bila dikeluarkan dari tanah, saya terkejut sebab ia merupakan kacip pinang yang berukir kepala naga berwarna emas. Saya tak sangka kematian anak Miow membawa kepada penemuan kacip pinang yang diperbuat daripada emas. Mungkin ini balasan sebab saya ambil dan peliharanya Miow sewaktu dijumpai di pinggir hutan empat tahun lalu,” katanya yang menganggap penemuan tersebut ibarat tuah membela Miow.

Zulkipli berkata, sebelum menjumpai kacip pinang emas tersebut, satu kejadian aneh pernah berlaku apabila ada objek besar jatuh di atas bumbung rumahnya dengan bunyi yang sangat kuat, namun selepas diperiksa tidak menjumpai sebarang objek.

Bagaimana pun, menurutnya, selepas menjumpai kacip pinang emas itu tiada kejadian aneh yang menimpa dirinya.

"Sampai sekarang ni saya masih simpan kacip pinang tersebut. Saya juga yakin ia adalah emas sebenar selepas bertanya dengan rakan-rakan yang rapat. Kawan-kawan beritahu, kacip pinang itu memang diperbuat daripada emas. Saya cuba mengikisnya sendiri dengan pisau... warna emasnya tak hilang dan habuknya berkilat,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian