Thursday, 1 January 2015

Rezeki terpijak selepas banjir besar

  • Orang ramai memenuhi kawasan semak yang dinaiki air disebabkan banjir untuk menangkap ikan.
  • Orang ramai memenuhi kawasan semak yang dinaiki air disebabkan banjir untuk menangkap ikan.

PASIR MAS - Musibah banjir luar biasa yang melanda jajahan ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian apabila rumah mereka ditenggelami air.

Namun disebalik musibah itu, banjir memberikan rezeki terpijak kepada penduduk tempatan yang mengambil kesempatan untuk menjala ikan sebaik sahaja air mulai surut.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Gaung, Tendong mendapati, puluhan penduduk sibuk menangkap ikan yang dikatakan terlepas dari sangkar berhampiran menggunakan jala di kawasan semak yang dinaiki air akibat banjir.

Situasi itu seolah-olah pesta menangkap ikan yang kebiasaan dilakukan penduduk setempat ketika musim kemarau.

Seorang penduduk, Mohd Shaubari Mohd Radzi, 31, berkata, dia keluar menangkap ikan sejak awal pagi sebaik sahaja banjir mulai surut.

“Alhamdulillah banyak juga rezeki yang diperoleh hari ini. Kebanyakan ikan ini adalah jenis patin dan ia dipercayai terlepas daripada sangkar milik seorang penternak,” katanya.

Mohd Shaubari berkata,, kebanyakan ikan yang ditangkap seberat tiga hingga empat kilogram setiap seekor.

Katanya, ikan yang ditangkapnya itu akan dijual dan selebihnya dijadikan lauk.

“Saya tahu kawasan ini ada ikan selepas melihat orang ramai berkumpul dan menangkap ikan. Saya pun turut singgah untuk mencuba nasib,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zul Amini Mohd Zakaria berkata, walaupun masih berduka namun ia sedikit terubat dengan rezeki yang diperoleh itu.

Katanya, hasil jualan ikan akan digunakan untuk perbelanjaan harian selepas rumahnya ditenggelami banjir.

- Sumber: Sinar Harian 

Harga petrol turun 35 sen, diesel 30 sen mulai 1 Jan 2015

Harga petrol turun 35 sen mulai 1 Jan

PUTRAJAYA: Harga baru bagi petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun sebanyak 35 sen berbanding harga sebelumnya manakala diesel diturunkan sebanyak 30 sen, berkuatkuasa tengah malam.

Sehubungan itu, harga runcit bagi RON95 ditetapkan pada RM1.91 seliter, RON97 pada RM2.11 seliter manakala diesel berharga RM1.93 seliter.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan senarai harga runcit baru petrol bagi Januari 2015 menerusi satu kenyataan di putrajaya, pada malam Khamis.

Pada 1 Disember lalu harga runcit RON95 diturunkan 4 sen kepada RM2.26 seliter, manakala diesel dinaikkan kepada RM2.23 seliter.

Ia berikutan pengumuman penetapan harga runcit oleh Kabinet pada 21 November 2014, bagi petrol RON95 dan diesel menerusi mekanisme sistem apungan terurus seperti yang dilakukan bagi penetapan harga RON97 bermula Julai 2010.

Menerusi mekanisme ini harga runcit minyak seluruh negara akan ditentukan mengikut harga minyak mentah dunia dan berdasarkan purata harga minyak mentah global bulanan serta nilai matawang semasa.

- Sumber: Astro Awani