Thursday, 25 December 2014

Suami isteri hilang dihanyut arus deras setelah bot penyelamat karam di Kemaman

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Md Salleh Sarbini berkata mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Nur Hayati Sulong dan suaminya Suhaimi Awang. - Gambar Fail

KEMAMAN: Sepasang suami isteri hilang setelah bot penyelamat yang dinaiki mereka bersama tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tiga lagi mangsa banjir terbalik dan karam di Kampung Geliga Che Akob di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Md Salleh Sarbini berkata mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Nur Hayati Sulong dan suaminya Suhaimi Awang.

Beliau berkata dalam kejadian 1.20 tengah hari itu bot berkenaan dalam proses memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan dan semua anggota serta mangsa menggunakan jaket keselamatan selain mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, bot yang dinaiki mereka terperangkap pada pusaran air dan menyebabkan bot yang dinaiki tiga anggota bomba dan lima mangsa banjir itu terbalik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut beliau tiga anggotanya cuba untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa namun arus air terlalu deras manakala tiga lagi mangsa dapat berenang ke tebing berdekatan.

Md salleh berkata ketika ini gerakan mencari mangsa masih giat dijalankan.

Katanya operasi menyelamat melibatkan 20 anggota dengan bantuan beberapa agensi keselamatan lain kini diperluaskan ke Kuala Kemaman kerana bimbang mangsa dihanyutkan arus deras. 

- Sumber: Bernama | Disember 24, 2014

Polis Kedah sahkan letupan berpunca daripada bom

Polis Kedah mengesahkan letupan dan kebakaran yang berlaku di Taman Ria Mesra 2 dekat Gurun, Kedah petang semalam adalah disebabkan letupan daripada bom.

GURUN: Polis Kedah mengesahkan letupan dan kebakaran yang berlaku di Taman Ria Mesra 2 dekat Gurun, Kedah petang semalam adalah disebabkan letupan daripada bom.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya memaklumkan pihaknya masih belum mengenal pasti jenis bom tersebut.

Katanya, polis masih menunggu keputusan hasil siasatan terperinci daripada Unit Pemusnah Bom PDRM.

Unit Pemusnah Bom terpaksa membuat pembersihan kawasan dahulu dengan mengeluarkan saki-baki daripada bom yang masih belum meletup itu untuk melakukan siasatan terperinci terhadap serpihan atau bukti yang mengakibatkan letupan yang begitu kuat.

Jelas beliau lagi pihaknya terpaksa melakukan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengetahui bagaimana bahan letupan itu boleh berada di dalam rumah itu dan bagaimana ia boleh meletup.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian petang semalam tiga beranak maut manakala seorang lagi ahli keluarga cedera parah dalam satu kejadian letupan bom yang dipercayai bahan letupan jenis ‘bom tangan grenade’ (mortar) di sini.

Kejadian itu menyebabkan seorang anggota tentera yang dikenali sebagai Ayob, berusia dalam lingkungan 30-an, anak perempuannya Nor Hidayu Shahirah Ayob, 8, dan anak lelakinya Mohamad Idham Shahmi, 5, maut.

Sementara isteri Ayob yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, mengalami kecederaan parah. 

- Sumber: Astro Awani