Wednesday, 24 December 2014

Banjir semakin serius, hampir 60,000 mangsa dipindah



Situasi terkini banjir yang berlaku di Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir bertambah serius menyebabkan 58,705 penduduk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan Sabah terpaksa berpindah.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 24,765 orang, diikuti Terengganu (21,606), Pahang (10,825), Perak (1,030), Sabah (336) dan Perlis (143).

Di KELANTAN jumlah mangsa meningkat kepada 3,164 orang sebelah pagi berbanding 21,601 orang malam tadi.

Sebanyak 18 pusat pemindahan baharu dibuka kepada 96 buah semalam.

Peningkatan jumlah mangsa melibatkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Kota Baharu.

Jumlah mangsa tertinggi dicatat di Pasir Mas iaitu 8,754 orang, diikuti Gua Musang (5,259) dan Kuala Krai (4,608).

Sebanyak 23 laluan turut ditutup yang 17 daripadanya laluan ditutup kepada semua lalu lintas manakala enam ditutup kepada kenderaan ringan.

Di TERENGGANU, 8,977 lagi penduduk terpaksa dipindahkan dengan Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa mencecah 12,699 orang.

Punca utama mangsa terpaksa berpindah adalah disebabkan fenomena air pasang terutama di kawasan pantai, demikian menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Setakat pukul 9 pagi, Dungun mencatat jumlah mangsa 4,591 orang, Hulu Terengganu (685), Kuala Terengganu (3,086), Besut (426), Marang (11) dan Setiu (8) di keseluruhan 107 pusat pemindahan.

Paras air di beberapa batang sungai utama di Terengganu dilapor melepasi tahap bahaya antaranya Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 14.21 meter (bahaya 12.50 meter), di Kuala Jengai 26.33 meter (bahaya 21 meter) dan Pasir Raja 38.62 meter (bahaya 37.50 meter).

Di PAHANG, 2,768 keluarga di lapan daerah terpaksa dipindahkan pagi ini menjadikan keseluruhan jumlah mangsa di negeri ini 10,825 orang berbanding 6,286 malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Daerah Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan mangsa paling tinggi iaitu 6,231 orang diikuti Maran (2,542)

Katanya beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan antaranya Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan-Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis, Jerantut-Kuala Tahan dan Kilometer 42 Jalan Kuantan-Segamat.

Di PERAK, daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar antara yang terjejas teruk menyebabkan 1,030 penduduk daripada 252 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamat Negara (MKN) Negeri Perak, jumlah mangsa di Kuala Kangsar meningkat kepada 823 orang berbanding 142 orang malam tadi.

Bagaimanapun katanya, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek sudah ditutup dan kesemua 23 mangsa dari Kampung Tasek Hulu Seberang telah dibenarkan pulang.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris mengesahkan laluan Timur Barat dari arah Gerik ke Jeli masih ditutup bagi semua kenderaan ekoran kejadian tanah runtuh di Kilometer 63, berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa di Beaufort meningkat kepada 336 orang berbanding 268 orang malam tadi dengan banjir yang melanda beberapa kampung di Tenom kembali pulih.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Beaufort berkata kesemua mangsa di Beaufort yang melibatkan 128 keluarga dari sembilan buah kampung ditempatkan di Dewan Masyarakat Baru.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tenom berkata kesemua mangsa di daerah ini dijangka dibenarkan pulang pagi ini.

Di PERLIS, 143 penduduk antaranya dari kawasan Beseri, Padang Melangit dan Tasoh telah dipindahkan sehingga pukul 7.30 pagi tadi, berbanding 104 mangsa malam tadi.

Menurut Sistem Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, paras air di Empangan Timah Tasoh kini mencatat bacaan 29.78 meter, melebihi paras bahaya 29.60 meter. 

- Sumber: Bernama, Disember 24, 2014

Banjir terburuk di Gua Musang dalam tempoh 30 tahun

Banjir terburuk di Gua Musang dalam tempoh 30 tahun

GUA MUSANG: "Bencana banjir tahun ini amat luar biasa dan menggerunkan," begitulah luahan penduduk Kampung Batu Papan apabila kampung mereka seolah-olah sebuah pulau selepas digenangi 90 peratus air dan hanya tinggal 10 peratus daratan.

Menurut penduduk kampung, keadaan banjir di Gua Musang ketika ini adalah yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Kira-kira 200 rumah penduduk Kampung Batu Papan telah ditenggelami air.

Biasanya air akan surut dalam tempoh 12 jam, namun hujan lebat tanpa henti sejak 3 hari lalu menenggelamkan kampung mereka.

"Memang banjir tahun ini luar biasalah dan amat meggerunkan sebab 100 peratus kena pindah. Seingat saya duduk sini inilah paling teruk dan dalam sejarah bencana terburuk di Batu papan, kalau dulu tahun 2001 tidak seteruk ni," ulas Ibrahim Ismail yang juga merupakan penduduk Kampung Batu Papan.

"Malam saya bangun dalam pukul 2 surut dalam sekaki. Pagi ni memang cepat naik dari kelmarin lagi. Pertama lagi 30 tahun lebih saya duduk kampung ni, nilah paling teruk. Memang di luar jangkaanlah," tambah Mohd Alif Yusof.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab. Aziz Yusoff bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang turut menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk serta menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung serta seorang warga emas yang sakit.

Kata beliau, "Kampung Batu Papan dah terkepung dengan air dan seolah-olah pulau dan kita telah agihkan makanan. Kita tak mampu untuk mengangkut mereka kerana terlalu ramai. Dan kita tidak mencukupi bot2 untuk mengangkut kerana, Gua Musang banjir besar dan bot amat terhad."

Sebanyak tiga buah pusat pemindahan bagi DUN Galas iaitu di SMK Tengku Indra Petra 1, SMK Tengku Indra Petra 2 dan SK Fakhri Petra.

- Sumber: Astro Awani