Monday, 8 December 2014

Bakar Al-Quran: Dr Mashitah beri keterangan polis

Dr Mashitah enggan menyatakan butiran keterangan yang diberikan kepada pihak polis.

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Mashitah Ibrahim tampil beri keterangan di IPD Dang Wangi petang Ahad susulan kenyataan dibuatnya mengenai isu pembakaran Al-Quran.

Dr Mashitah membangkitkan isu itu dalam perbahasannya di Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berlangsung pada akhir bulan lalu.

Lapor portal Agenda Daily, beliau tiba di ibu pejabat polis itu jam 2.30 petang dan selesai memberi keterangan kira-kira jam 4 petang.

Beliau yang ditemani suaminya Datuk Seri Abdul Shakor Abu Bakar bagaimanapun enggan menyatakan butiran keterangan yang diberikan kepada pihak polis.

Pada Jumaat, Ketua Parlimen DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kenapa tiada sebarang siasatan dibuat terhadap Mashitah, biarpun telah ada laporan polis dibuat.

Kit Siang berkata Ahmad Zahid mengambil masa lama memberi arahan kepada pihak polis menyiasat kenyataan Dr Mashitah.

Pada 28 November, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching membuat laporan polis kerana kenyataan Dr Mashitah dianggap langsung tidak bertanggungjawab.

Pemimpin muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud berkata kenyataan Dr Mashitah boleh menimbulkan huru-hara dan pecah belah.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan bahawa bekas timbalan menteri itu betanyakan perwakilan UMNO adakah mereka rasa tercabar dengan kejadian itu.

"Rasa tercabar atau tidak? Rasa sensitif atau tak? Rasa sedih atau tak. Kalau rasa begitu, kenapa tidak bersuara. Jangan diam. Mana suara kita di dalam media, di alam maya. Jangan jadi majoriti senyap. (Jangan biarkan) yang minoriti ini bercakap," katanya seperti dipetik dari laporan itu. 

- Sumber: Astro Awani

Malaysia tunduk kepada Vietnam, 2 - 1

Penyerang Harimau Malaya Norshahrul Idlan Talaha (kiri) bergelut dengan Le Phuoc Tu dari Vietnam ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam malam tadi. Foto AFP/Mohd Rasfan

SHAH ALAM: Skuad Harimau Malaya tewas kepada Vietnam 2-1 pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF 2014 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Laungan Ultras Malaya memberikan semangat kepada pemain pada permulaan perlawanan, namun beberapa usaha yang merbahaya dihasilkan oleh pemain Vietnam.

Tuah menyebelahi Harimau Malaya selepas pengadil Ma Ning menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Vietnam. Safiq Rahim dengan selesa meyudahkan jaringan memberikan harapan mengulangi kejayaan Malaysia pada tahun 2010.

Perlawanan bertambah sengit selepas Vietnam kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi jaringan Huy Toan Vo melepasi penjaga gol Khairul Fahmi Che mat.

Skuad kendalian Toshiya Miura terus memberikan tekanan pada separuh masa kedua dan akhirnya berjaya mendapatkan gol hasil daripada jaringan penyerang Van Quyet Nguyen pada minit ke-59.

Gary Steven Roobat dan Indra Putra Mahyuddin dibawa masuk namun tidak berjaya membantu Malaysia mendapatkan keputusan yang lebih selesa untuk dibawa ke perlawanan timbal balik di Vietnam nanti. 

- Sumber: Astro Arena