Friday, 5 December 2014

Honda City 1.5L V - Jimat Minyak Tak?


Memang menarik sikit ujian Jimat Minyak Tak? (JMT) kali ini kerana ia adalah model sedan yang kemungkinan besar akan berfungsi sebagai kenderaan utama seorang pemilik. Kami sendiri pun memang mengharapkan sesuatu yang sangat positif berkenaan kecekapan penggunaan bahan api Honda City baharu; apatah lagi kerana dari segi-segi lain yang kami laporkan di sini, ia memang kereta yang menampilkan pakej keseluruhan yang menarik.


Ujian kami kali ini bersifat lebih urban, dengan jumlah pemanduan yang banyak di kawasan pusat bandar, di samping sedikit penggunaan lebuhraya apabila diperlukan. Oleh itu, jumlah perjalanan tidaklah begitu tinggi iaitu 251km.

Pada akhir tempoh pandu uji, sistem kereta menunjukkan angka 12.3km/liter, ataupun 8.1 liter/100km.

Mengikut sistem yang sama, baki di dalam tangki petrol (dengan kapasiti 40 liter) masih mampu untuk membawa kereta pergi sejauh 75km lagi.
Saiz tangki 40 liter
Jumlah perjalanan (pada waktu bacaan diambil) 251km
Bacaan OBC (pada waktu bacaan diambil) 8.1 liter / 100km
Baki mengikut OBC (pada waktu bacaan diambil) 75km


Persoalannya: Jimat minyak tak?


Jawapan: Jika hanya berdasarkan segala variasi kereta yang pernah saya pandu uji, kadar penggunaan petrol 8.1 liter/100km agak ‘biasa-biasa’ sahaja bagi sebuah kereta moden; mungkin juga sedikit mengecewakan.

Tetapi walaupun menggunakan sebuah enjin yang boleh dianggap ‘moden’, enjin Honda City ini tidak mempunyai spesifikasi yang benar-benar termaju termasuk pengecas turbo ataupun suntikan terus (direct injection). Dengan apa yang ada, sebenarnya Honda City ini adalah agak cekap di dalam pembakaran bahan api.

- Sumber: Astro Publication 

Gara-gara 'Gangnam Style', Google naik taraf sistem

Lagu nyanyian Psy itu itu sudah pun memecah rekod dengan lebih dua billion tontonan di YouTube.

Penangan lagu Gangnam Style yang mencipta fenomena di seluruh dunia.

Selain diangkat sebagai lagu paling banyak ditonton di laman YouTube, 'Gangnam Style' sekali lagi mencipta sejarah dengan memaksa Google menaik taraf sistemnya untuk meneruskan kiraan angka tontonan video tersebut.

Ini kerana, tontonan untuk video tersebut sudah pun mencapai angka maksimum yang ditetapkan.

Lagu nyanyian penyanyi Korea, Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang itu sudah pun memecah rekod dengan lebih dua billion tontonan di YouTube.

Berdasarkan kenyataan Google, pembilang tontonan di YouTube menggunakan integer 32-bit yang membawa angka maksimum 2,147,483,647.

Oleh itu, tontonan seterusnya tidak lagi dapat dikira.

Memetik kenyataan Google kepada laman web The Verge tidak lama dahulu, “Jurutera kami sudah menjangkakan ini akan berlaku beberapa bulan lalu dan bertindak mengemaskini sistem kami sebagai persediaan.”

Bagaimanapun melihat kepada kunjungan ke laman video 'Gangnam Style', Google menaiktaraf kepada integer berasaskan 64-bit.

Kini, YouTube mampu membawa sokongan angka kiraan maksimum sehingga 9,223,372,036,854,775,808 tontonan.

'Gangnam Style' mencetuskan fenomena di seluruh dunia sejak dilancarkan pada 2012 melalui irama K-Pop bersama ‘trademark’ tarian kuda.

Video kedua yang paling banyak ditonton di YouTube ialah lagu Justin Bieber, ‘Baby’, yang kini mencecah 1,117,681,185 tontonan.

- Sumber: Astro Awani