Thursday, 4 December 2014

Kerajaan setuju syor RCI tubuh Urus Setia Tetap tangani isu pendatang asing Sabah

Para media yang membuat liputan keputusan siasatan RCI berkenaan pendatang asing di Sabah yang diumumkan oleh KSN hari ini turut diberi buku percuma mengenai hasil keputusan RCI itu selepas sidang media.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menerima syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mewujudkan Urus Setia Tetap diwujudkan untuk mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Ketika mengumumkan laporan RCI, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata jawatankuasa tetap itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah, yang akan melaporkan kepada Jemaah Menteri Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Keahlian, terma rujukan serta bidang kuasa jawatankuasa itu akan ditetapkan pada masa terdekat," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Saripuddin Kasim, yang sebelum ini merupakan Setiausaha RCI, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.

Pada masa sama, Ali berkata sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan ditubuhkan.

Katanya jawatankuasa kerja itu antara lain akan meneliti isu-isu dibangkitkan oleh laporan RCI serta maklum balas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah untuk diketengahkan kepada Jawatankuasa Tetap.

Sebelum ini RCI memberi cadangan jika konsep Jawatankuasa Pengurusan tidak diterima kerajaan, RCI mengesyorkan suatu Majlis Perundingan mengenai pendatang asing diwujudkan.

Majlis Perundingan itu akan diketuai oleh profesional bebas yang mempunyai integriti tinggi dan tidak terlibat dalam politik.

Laporan RCI mengesyorkan, ia haruslah terdiri dari pegawai tinggi kerajaan, ahli korporat, akademik atau wakil persatuan guaman.

Majlis itu akan membincangkan serta meneliti masalah tersebut, dan seterusnya membuat laporan termasuk syor kepada urus setia.

Dalam pada itu, kata Ali, dalam mencari penyelesaian ke atas isu kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah, suruhanjaya telah meneliti tiga cadangan daripada saksi-saksi.

Menurutnya cadangan pertama adalah menarik balik semula kad pengenalan yang diberi secara haram dan suruhanjaya mendapati cadangan ini mempunyai merit tersendiri tetapi timbul kesukaran dalam mekanisme untuk mengenal pasti dan mengesan kad pengenalan.

Katanya cadangan kedua iaitu memperkenalkan 'Kad Pengenalan Sabah' kepada penduduk Sabah Asli, bagaimanapun suruhanjaya mendapati tiada sebarang mekanisme pelaksanaan dikemukakan oleh mana-mana saksi.

Cadangan ketiga iaitu penubuhan jawatankuasa tetap mengenai pendatang asing di Sabah dan didukung oleh sebuah jawatankuasa pengurusan, kata Ali.

Berikutan "Projek IC", lima saksi yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Lima saksi itu ialah Ramli Kamaruddin, Kee Dzulkifli Kee Abdul Jalil, Asli Sidup, Yakop Damsah dan Datuk Abdul Rauf Sani yang merupakan bekas pengarah JPN Sabah dari 1990 hingga 1992.

Projek tersebut dikatakan menjadi punca kelimpahan melampau warga asing di negeri Sabah.

Namun, laporan RCI mendapati tidak ada kesahihan kewujudan "Projek IC", sebaliknya apa yang disimpulkan ialah wujud sindiket dan individu yang dibantu oleh pegawai yang korup mengambil kesempatan atas kelemahan sistem kerakyatan berinstitusi demi keuntungan kewangan.

Buku laporan RCI mula dijual pada Khamis dengan harga RM100 senaskhah dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ia boleh dibeli di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di Kota Kinabalu dan 'One Stop Centre' Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan turut dianggotai bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Tan Sri Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J. Luping. 

- Sumber: Astro Awani 

Saya tidak campur kes saman Chong Wei terhadap Razif

KHAIRY: Saya tidak campur kes saman Chong Wei terhadap Razif - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan campur tangan dalam kes saman Datuk Lee Chong Wei terhadap Razif Sidek dan sebuah akhbar berbahasa Melayu, kerana perkara itu bersifat peribadi.

Katanya, jaguh badminton negara itu mempunyai reputasi yang perlu dijaga dan terpulang kepadanya untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya sudah beritahu Chong Wei bahawa dia boleh mengambil tindakan itu jika dia mahu...saya juga tidak menggalakkan dia untuk saman Razif dan tidak juga menghalangnya kerana ini soal peribadi dan dia ada reputasi untuk dijaga," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Modal Insan Malaysia Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi' di Universiti Teknologi Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Chong Wei, 32, mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemain badminton negara itu dan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu yang mendakwa beliau telah menggunakan bahan yang dilarang untuk satu jangka masa yang lama.

Razif juga dipetik dalam akhbar itu pada 11 Nov lepas sebagai berkata perbuatan Chong Wei itu disedari oleh pegawai-pegawai dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemain badminton nombor satu dunia itu dilaporkan telah menyerahkan surat tuntutan melalui pasukan undang-undangnya Song and Partners kepada Razif dan akhbar harian itu minggu lepas.

Pada bulan lepas, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung Chong Wei daripada menyertai semua kejohanan selepas sampel A dan B beliau didapati positif untuk bahan dexamethasone yang diharamkan.

Chong Wei, yang gagal ujian doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen pada 30 Ogos lepas digantung sehingga pendengaran dijalankan oleh BWF dan bakal berdepan penggantungan selama dua tahun.

Pada perkembangan lain Khairy berkata, beliau akan menjalankan temuduga seawal minggu depan bagi mengenal pasti calon jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong.

"Saya akan temuduga sendiri calon tersebut dan buat masa ini saya belum membuat apa-apa keputusan. Saya akan baca semua permohonan dan akan bincang dengan Ketua Setiausaha kementerian untuk senarai pendek calon dan panggil untuk temuduga...paling cepat mungkin minggu depan," katanya.

Dilaporkan, 43 calon telah memohon jawatan itu.

Jawatan itu diiklankan di laman sesawang rasmi kementerian bermula 4 November lepas, selepas Zolkples diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017. 

- Sumber: Bernama