Monday, 24 November 2014

KJ jawab pakar ekonomi mi segera


SHAH ALAM - Lantaran kemunculan ramai pakar ekonomi mi segera yang tidak memahami cara mengira harga petrol, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini melalui laman Facebooknya menjelaskan perkara itu.

Khairy berkata, ramai pengguna laman Facebook yang hanya tahu berkongsi sesuatu perkara terutamanya mengenai teori kenaikan harga minyak ini tanpa mengambil kira fakta dan kesahihan maklumat tersebut.

“Contoh pakar mi segera seperti gambar di bawah. Dengan penuh keyakinan beliau kata "ini fakta..." Saya juga yakin ramai yang membaca post tersebut dan terus share secara membuta tuli tanpa sebarang usul periksa. "Mesti mamat ni betul." "Logik juga dia tulis."

“Apa yang beliau tulis itu salah sebab harga minyak dunia itu yang diambil sebagai contoh adalah harga minyak mentah. Untuk pengetahuan semua, petrol yang kita guna untuk kenderaan kita bukan minyak mentah. Itu minyak yang sudah diproses, ditapis, diangkut, diedar, diniaga dan lain-lain.,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, fakta yang dibawa oleh ‘pakar ekonomi’ itu adalah tidak betul.

“Kalau beliau konfiden dengan 'fakta' beliau, saya sarankan beliau mengisi kenderaannya dengan minyak mentah. Tengok jauh mana boleh jalan.

"Mungkin di sini ada yang nak tulis, "OK lah KJ. Jangan sembang je bro. Tunjuk lah cara nak kira petrol ni." katanya lagi .

Untuk itu Khairy berkata, harga petrol di Malaysia dikira mengikut formula yang dikenali sebagai Automatic Pricing Mechanism atau APM dan beliau menunjukkan cara pengiraannya.

Untuk menguatkan lagi hujahnya Khairy berkata ‘pakar ekonomi’ atau mana-mana pihak boleh merujuk penjelasan yang sama dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Kita guna formula di atas, purata harga MOPS untuk RON95 dari 1 hingga 19 November adalah 195.15 sen. Campur dengan kos lain diatas = 226.88 sen atau kurang lebih RM2.27. Maksudnya, bila kita apungkan harga petrol pada 1 Disember dan tren penurunan harga pasaran minyak berterusan, ada kemungkinan besar harga petrol RON95 turun. Subsidi dijimat, harga pun boleh turun.

“Kesimpulannya, semak semua 'fakta' dulu. Jangan cepat share. Think first,” tulisnya.

- Sumber: Sinar Harian 

MH17 'pembunuhan beramai-ramai yang dirancang'

SHAH ALAM - Tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan kru disifatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Airline, Sir Timothy Charles Clark sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai yang dirancang’.

Oleh itu Clark berkata, beliau berharap dalang yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu di bawa ke muka pengadilan supaya mereka dikenakan hukuman sewajarnya atas tindakan itu. 

“Kapal terbang tersebut ditembak jatuh. Ada yang menyatakan ia satu kemalangan, tapi saya tidak mempercayainya. Kapal terbang itu ditembak dengan pengetahuan sepenuhnya apa yang dilakukan.

“Pihak Belanda menyatakan bahawa insiden ini adalah satu tindakan jenayah dan pelakunya perlu dibicarakan di mahkamah antarabangsa.

"Ia memang jenayah. Saya menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai yang dirancang dan dalang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.” kata Clark dalam satu temu bual bersama wartawan Andreas Spaeth yang diterbitkan di Sydney Morning Herald.

Mengulas lanjut, Clark berkata, tragedi MH17 perlu menjadi satu ‘game changer’ kepada industri penerbangan di mana perlu ada perkongsian maklumat yang lebih baik supaya syarikat penerbangan boleh memilih laluan penerbangan yang selamat.

“Komuniti syarikat penerbangan kadang-kadang perlu melalui zon-zon konflik dan ada yang terus mengelakkan kawasan tersebut. Setakat ini, kami telah hentikan penerbangan ke Erbil, Damsyik dan Tripoli.

"Terbaru kami hentikan penerbangan ke Sana’a dan kami masih menimbangkan kemungkinan penghentian penerbangan ke atas Peshawar, Pakistan juga.

"Pengurusan penerbangan perlu mengimbangi perkara sebegini sepanjang masa. Jadi, kerja ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan jika kami mendapat lebih maklumat,” katanya

Emirates telah menghentikan penerbangan menerusi ruang udara Iraq semenjak kejadian MH17.

Sementara itu, apabila ditanya tentang masa hadapan MAS, Clark berkata, cabaran yang dihadapi MAS sangat berat kerana setakat ini tiada syarikat penerbangan yang mendepani dua tragedi berturut-turut dalam tempoh beberapa bulan.

Oleh itu, katanya buat masa ini MAS mungkin perlu menilai semula modal perniagaan mereka dan mempertimbang untuk menjenamakan semula syarikat.

“Malaysia Airlines melambangkan jenama Malaysia. Ia merupakan duta perniagaan (Malaysia). Sememangnya amat sukar untuk mendepani stigma. MAS perlu menilai semula modal perniagaan dan penjenamaan semula.”

“Industri penerbangan tidak harus duduk dan melihat (MAS) ‘hilang’ berikutan dua insiden tersebut. Kami perlu cuba menolong mereka mendepani masalah-masalah yang dihadapi.” katanya.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.

- Sumber: Sinar Harian