Sunday, 23 November 2014

Cari 'harta karun' secara haram

  • Johar menunjukkan lokasi yang dipercayai menyimpan artifak lama semasa zaman penjajahan Jepun di Kampung Bukit Senggeh.
  • Johar menunjukkan lokasi yang dipercayai menyimpan artifak lama semasa zaman penjajahan Jepun di Kampung Bukit Senggeh.

JASIN - Jabatan Warisan memohon mana-mana individu yang melakukan kerja mencari gali artifak lama secara haram segera memberhentikan kegiatan berkenaan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Saranan itu dibuat selepas terdapat sebuah kumpulan melakukan kerja pencarian tanpa berlesen yang kononnya mempercayai terdapat harta peninggalan semasa zaman penjajahan Jepun di Kampung Bukit Senggeh, di sini.

Ketua Zon Selatan Jabatan Warisan Negara, Johar Kadis berkata, semasa tinjauan semalam, pihaknya mendapati kumpulan terbabit baharu sahaja mengorek kawasan berkenaan seluas 30 meter itu.

Menurutnya, bongkah batu seberat kira-kira 20 tan yang terdapat di Kampung Bukit Senggeh turut beralih dan dipercayai kumpulan berkenaan menggunakan jentera berat bagi melakukan kerja pencarian.

Dalam pada itu, Johar berkata, kumpulan terbabit perlu menghubungi jabatan sekiranya menemui sebarang artifak dan perlu diserahkan kepada Pesuruhjaya Warisan atau Pejabat Tanah dan Daerah.

“Tiga bulan lalu, saya dimaklumkan kumpulan ini pernah memohon kepada kerajaan negeri sebelum dipanjangkan kepada Perbadanan Muzium Melaka untuk disemak.

"Namun tiada tindakan susulan dilakukan dan kini mereka sudah melakukan kerja pencarian secara diam-diam yang dirasakan baharu sahaja selesai,” katanya.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, pihak juga memerlukan kerjasama daripada penduduk kampung.

"Penduduk kampung yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan itu diminta melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya sedang merangka untuk membina sebahagian jajahan Kota Melaka yang bakal menjadi lokasi penyelidikan dan kajian selain menarik kedatangan pelancong.

- Sumber: Sinar Harian 

Kisah pulau ‘kapal perang’

  • Kisah pulau ‘kapal perang’

PULAU HASHIMA - JEPUN. Dari jauh kelihatan seperti kapal perang yang siap sedia melancarkan serangan, hakikatnya ia hanyalah salah sebuah dari 505 pulau tidak berpenghuni di Wilayah Nagasaki di Jepun.

Terletak 15 kilometer daripada Nagasaki, Pulau Hashima atau dikenali sebagai Gunkanjima dikatakan menyimpan sejarahnya yang tersendiri. 

Ditemui pada tahun 1887, pulau yang didiami oleh 5,259 penduduk ini dibangunkan oleh syarikat Mitsubishi Corporation.

Pulau yang begitu kaya dengan sumber arang batu ini menjadi gemilang pada tahun 1959 dengan pembinaan bangunan serta kemudahan awam yang lengkap.

Oleh kerana ruang daratan yang begitu sempit, pemaju mengambil langkah membina bangunan tinggi untuk didiami pekerja arang batu yang bekerja di pulau tersebut.

Selain itu, kemudahan lain seperti pusat perubatan, bar, panggung wayang dan restoran turut dibina.

Ia menjadikan pulau tersebut sebagai petempatan yang mencatatkan jumlah penduduk paling padat di dunia dengan nisbah 835 orang dalam satu kilometer persegi.

Sebaik berakhirnya Perang Dunia Kedua, kemudahan di pulau tersebut ditambah baik dengan adanya kemudahan kabel, radio dan sebagainya.

Selain itu, penanaman taman-taman dan tanaman sayuran mula diwujudkan di atas bangunan-bangunan tinggi di pulau tersebut.

Namun pada tahun 1974, penggunaan arang baru mengurang dengan wujudnya sumber tenaga utama dari minyak, menyebabkan lombong di Pulau Hashima ditutup dan penduduk akhirnya mula meninggalkan pulau tersebut.

Kegemilangan pulau mewah ini surut perlahan-lahan. Pulau Hashima dibiar tanpa berpenghuni dan segala-galanya ditinggal sepi begitu sahaja. 

Bangunan-bangunan tinggi di pulau tersebut mulai reput, buruk, runtuh dan rosak manakala tumbuh-tumbahan mulai menjalar liar. 

Pulau tersebut masih menerima kunjungan daripada pelawat yang mahu menyaksikan sendiri tinggalan bangunan dan runtuhan di sana. 

Sehingga kini tiada rancangan dibuat untuk membangunkan semula pulau tersebut.

- Sumber: Sinar Harian