Thursday, 6 November 2014

10 jalan ditutup sempena majlis istiadat persandingan pasangan diraja Johor

10 jalan ditutup sempena majlis istiadat persandingan pasangan diraja Johor

JOHOR BAHARU: Sepuluh jalan utama di bandar raya ini akan ditutup kepada lalu lintas bersempena Majlis Istiadat Persandingan Mempelai Diraja Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Cik Khaleeda Bustaman di Istana Besar Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata ini bagi memastikan majlis bersejarah itu akan berjalan lancar.

Jalan yang akan ditutup bermula pukul 5 petang sehingga tengah malam itu ialah persimpangan Jalan Tun Razak-Pantai Lido, susur Jalan Tun Razak-Pantai Lido, Lebuh Raya Pantai-Pantai Lido, lampu isyarat Country Garden, lampu Isyarat Hotel M-Suites, Jalan Thompson-Jalan Skudai Pantai Lido;
Jalan Abu Bakar-Jalan Skudai Pantai Lido, Jalan Gertak Merah-Jalan Skudai Pantai Lido, persimpangan Tun Sri Lanang (Bangunan Lot1)- Lampu Isyarat Gertak Merah dan Jalan Molek-Lampu Isyarat Jalan Gertak Merah.

Sementara itu, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif ke pusat bandar raya iaitu Jalan Kolam Ayer, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Lingkaran Dalam/Susur Jalan Mahmoodiah, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gertak Merah-Pusingan U ke Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Datin Halimah.

"Mereka yang hendak pergi ke Hospital Sultanah Aminah diminta menggunakan Jalan Mahmoodiah manakala Bazar Karat yang diadakan di Jalan Wong Ah Fook juga akan ditutup pada hari itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sulaiman berkata sejumlah 936 anggota dan 36 pegawai polis akan menjalani pelbagai jenis penugasan bagi istiadat tersebut termasuk pengiring, menjaga lalu lintas dan tugas-tugas keselamatan.

Beliau menasihati jemputan ke majlis itu supaya tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Orang ramai juga diminta mematuhi nasihat polis bagi memastikan kelancaran majlis tersebut.

Yang dipertua Majlis Jumaah Diraja Datuk Abdul Rahim Ramli sebelum ini berkata orang ramai berpeluang melihat pasangan itu menaiki kereta tidak berbumbung yang akan bergerak dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar, yang dijangka bermula 7.30 malam.

Mereka boleh berhimpun di sepanjang jalan tiga kilometer itu dan menyaksikan perjalanan majlis menerusi skrin besar di Dataran Bandaraya di sini. 

- Sumber: Bernama

Video buli pelajar berlaku di asrama anak yatim di Perlis

Sebuah lagi video klip (gambar) yang turut merakam aksi buli sekumpulan pelajar terhadap sembilan orang pelajar lain sedang dikenal pasti. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan video klip aksi buli membabitkan tujuh pelajar dan seorang mangsa yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini, berlaku di Asrama Anak Yatim, Kompleks Penyayang Doktor Siti Hasmah, di Jejawi, Kangar.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu merupakan kes lama yang telah dilaporkan Jun lepas dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

"Video ini melibatkan tujuh orang pelajar iaitu tiga pelajar tingkatan satu, dua pelajar tingkatan dua, dan dua pelajar tingkatan tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajudin yang telah memukul seorang pelajar darjah lima yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata difahamkan mangsa dipukul kerana enggan membersihkan bilik sedangkan pada hari berkenaan merupakan gilirannya untuk berbuat demikian.

Pihak polis tetap mengemukakan kertas siasatan kepada pendakwa raya sekalipun pihak penyelia pelajar telah menarik balik laporan mereka atas tujuan menyelesaikan masalah itu secara baik, katanya.

Klip video berdurasi enam minit 51 saat itu memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lain di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah, sehingga menimbulkan rasa marah dalam kalangan masyarakat.

Mengenai sebuah lagi video klip yang turut merakam aksi buli sekumpulan pelajar terhadap sembilan orang pelajar lain, Mohamad Fuzi berkata lokasi serta nama sekolah itu sedang dikenal pasti.

"Arahan telah dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri untuk mengesan sekolah serta remaja yang terbabit, namun sehingga hari ini masih belum ada pihak yang tampil memberi maklumat," katanya.

Kejadian itu direkodkan dalam sebuah klip video berdurasi empat minit 37 saat yang dimuat naik di laman sosial yang memaparkan aksi sekumpulan remaja lelaki membelasah sembilan remaja di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di perkarangan Ibu Pejabat Bukit Aman bagi melihat tahap keselamatan struktur tanah di situ.

Mohamad Fuzi turut melahirkan kebimbangannya terhadap beberapa lokasi yang mempunyai ancaman terhadap struktur bangunan yang melibatkan Menara dua, Mess Pegawai Kanan dan kompleks tiga Cawangan Khas, berikutan terdapat rekahan bangunan dan hakisan tebing.

"Daripada mata kasar boleh dilihat rekahan bangunan menara dua manakala di Jalan Kinabalu terdapat tanah runtuh dan hakisan tanah yang merisikokan kedudukan bangunan menara dua, mess pegawai kanan dan Kompleks tiga Cawangan Khas. Saya berharap pihak berwajib dapat dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya. 

- Sumber: Bernama