Tuesday, 21 October 2014

Dera anak: Suami isteri tak mengaku salah

AYER KEROH - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, semalam atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun enam bulan, 29 September lalu.



Tertuduh, Abdul Mutalib Sivakumar Abdullah, 37, dan isterinya Nurul Najwa Abdullah, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Abdul Mutalib sebagai bapa dan Nurul Najwa sebagai ibu tiri kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun enam bulan didakwa menganiayai mangsa dengan mengakibatkan kecederaan fizikal di seluruh badan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh masing-masing kira-kira jam 7.15 malam dan 8.30 malam di sebuah rumah di Batu 7 1/2 Paya Rumput pada 29 September 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang berhadapan pertuduhan mendera anak sendiri atau anak tiri.

Bagaimanapun, kedua-duanya merayu supaya diberikan jaminan dengan jumlah jaminan yang rendah kerana hanya Abdul Mutalib yang bekerja menampung keluarga termasuk seorang anak mereka berusia lebih satu tahun.

Majistret, Mohd Firdaus Saleh kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta turut menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

- Sumber: Sinar Harian

Pengakuan Zul Ariffin

Zul Ariffin

"SAYA akui ke kelab, tapi untuk menonton persembahan live band. Masa di sana, memang ramai yang ambil gambar dengan saya dan sedar telah melakukan satu kesilapan besar kerana cara bergambar itu agak berlebihan," ujar Zul Ariffin mengenai dakwaan dia berada dalam keadaan mabuk di sebuah kelab malam di Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 28, dia juga tidak berada di dalam keadaan mabuk pada ketika itu.

Tambahnya, dia tidak melarikan diri daripada memberi penjelasan mengenai isu terbabit kerana menunggu masa yang sesuai.

"Saya ke sana kerana menjalani penggambaran drama bersiri terbaharunya berjudul Istiqarah Cinta dan bila gambar itu tersebar, saya tidak lari dari memberikan kenyataan.

"Saya cuma tunggu masa sesuai dapat berjumpa semua media untuk jelaskan situasi sebenar kerana lebih mudah menjelaskan secara berhadapan.

"Bagaimanapun, sebaik gambar itu tersebar, saya sudah jelaskan kepada keluarga saya iaitu ibu dan Gayatri (kekasih), jelasnya.

Zul berkata, dia akan lebih berhati-hati untuk bergambar dengan peminat wanita selepas ini bagi menggelakkan peristiwa sama berulang.

Zul ditemui pada majlis pengumuman pengacara Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) di Sri Pentas, semalam.

Selain Zul, ASK 2014 turut diterajui oleh Fara Fauzana, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan, Amyra Rosli, Nabila Huda, Shukri Yahya, dan Fahrin Ahmad.

- Sumber: Sinar Harian