Tuesday, 21 October 2014

Peninju lagenda, Muhammad Ali tenat?


Muhammad Ali ketika menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik di London pada 2012. Foto AFP/ THOMAS COEX

KUALA LUMPUR: Peninju lagenda, Muhammad Ali yang mengidap penyakit Parkinson sejak 30 tahun dulu, dilaporkan kini berada dalam keadaan 'agak tenat'.

Menurut NDTV Sports yang memetik sumber keluarga terdekat, jika perkara itu benar, kemungkinan ini merupakan hari-hari terakhir bagi bekas juara dunia yang sudah berusia tahun itu.

Khabar angin mengenai tahap kesihatan beliau yang semakin merosot itu tersebar apabila beliau tidak menghadirkan diri pada tayangan perdana filem terbaru Hollywood, 'I am Ali'.

Dalam masa yang sama, dua lagi peninju yang pernah menjadi pesaing terhebat Ali iaitu, Joe Bunger, 64 dan Leon Spinks, 61 dikatakan turut mengalami masalah kesihatan serius.

Kedua-dua peninju dari Britain itu dilaporkan masing-masing mengidap penyakit jantung dan usus.

Namun begitu, anak Muhammad Ali, Hana yakin ayahnya mampu menangani masalah kesihatan yang sedang dihadapinya.

"Saya menghubunginya setiap pagi sebab dia bertutur dengan lebih baik pada waktu pagi. Anda boleh mendengar suaranya yang lembut," kata Hana dalam satu temuramah dengan Telegraph, baru-baru ini.

"Dia bergurau tentang hasratnya untuk kembali ke arena tinju. Jadi, dia mahu dunia mengetahui bahawa dia suka menjadi Muhammad Ali," tambahnya.

- Sumber: Astro Awani

Ada ahli politik dibiayai hasil judi haram

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA - Terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut.

"Tidak ada ahli politik yang terlibat secara langsung tetapi mungkin ada yang memperolehi wang daripada pendapatan hasil perjudian itu untuk melakukan kegiatan politik.

"Berdasarkan laporan yang saya perolehi ada ahli politik yang terlibat...saya tidak mahu menuduh, tetapi jika mahu pembuktian pihak polis ada bukti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam masalah perjudian atau kegiatan jenayah sepatutnya mana-mana ahli politik tidak bersekongkol dengan individu atau pertubuhan haram.

Ahmad Zahid diminta mengulas laporan akhbar mengenai kegiatan perjudian di tiga kawasan berkenaan yang dikatakan kebal untuk ditembusi pihak berkuasa. 

Sehubungan itu, beliau berharap pihak parti politik dapat mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang terlibat dibiayai dengan kegiatan perjudian haram.

"Kami juga mohon kerjasama orang ramai, bukan sahaja melaporkan tetapi bersama-sama mengambil tindakan dengan pihak berkuasa, kerana apa yang berlaku sekarang bila ada permintaan maka adalah penawaran," katanya. 

- Sumber: Bernama