Saturday, 18 October 2014

Bukan seram biasa


MULA melangkah dalam bidang pengarahan pada 2010 menerusi filem romantik, Sekali Lagi..., pengarah ini banyak menghasilkan filem dari genre yang sama.

Namun, hampir empat tahun berada di kerusi pengarahan, kredibiliti Hashim Rejab diuji pada tahun ini dengan penghasilan filem bergenre seram, Nasi Tangas.

Selepas muncul dengan filem seram pertama itu, Hashim sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudi filem bergenre seram Kelibat, yang bakal menemui penonton pada 6 November depan.

Mengisahkan kejadian yang menimpa sebuah keluarga yang mengalami muflis, pastinya jalan cerita ini jauh berbeza dengan karyanya sebelum ini yang boleh mengundang tawa dan tangis penonton.

Akui pengarah terkenal ini, bukan mudah untuk membawa elemen seram dalam penceritaan agar penonton dapat menikmati apa yang ingin disampaikan.

"Untuk filem ini, ia bukanlah satu filem seram semata-mata. Ia adalah filem seram yang berbeza di mana ianya lebih menceritakan mengenai perasaan apabila takut, sedih dan marah di gumpal dalam satu cerita.

"Sebelum ini, saya lebih sinonim dengan filem genre romantik dan genre seram bukanlah genre sebenar saya. Selain memastikan untuk dapat hasil yang menarik, saya turut mendapatkan maklum balas dari orang sekeliling.

"Saya akan bertanya adakah ianya memberi unsur seram atau tidak agar tidak mengecewakan penonton. Lagipun, ia adalah pengalaman baharu saya," katanya yang sebelum ini telah menghasilkan beberapa filem termasuk 3 Temujanji, Longkai dan Papa I Love U.

- Sumber: Sinar Harian 

Pendapatan RM3,600 dikira miskin di Malaysia

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru agar rakyat Malaysia terutamanya Melayu/Bumiputera mengubah sikap supaya menjadi masyarakat yang lebih berjaya, bagi mengelak mereka daripada menjadi pengemis di negara sendiri.

Ku Li berkata, perubahan itu perlu dilakukan kerana standard dunia telah berubah, dan sekiranya masyarakat kita masih lena dibuai mimpi tidak mustahil kita senasib dengan masyarakat ‘Red Indian’ di Amerika Syarikat.

“Saya sebut dalam masalah yang dihadapi oleh orang kita, orang Melayu/Bumiputera adalah sikap kita… jadi selagi kita tidak ubah sikap selama inilah kita akan ketinggalan. Saya ingatkan orang kita supaya ubah sikap, letakkan nilai yang patut supaya kita tidak jadi pengemis di negara sendiri.

“Ingat nasib ‘Red Indian’… keadaan kini sudah berubah, nilai ringgit sudah jatuh dan World Bank telah tetapkan ukuran yang baru kepada kita untuk tentukan kita sudah atasi kadar kemiskinan.

“Dikhabarkan sekarang untuk Malaysia, mereka yang berpendapatan kurang RM3,600 adalah golongan miskin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Transformasi Barah Ali Baba di Bumi Merdeka anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEN) di Institusi Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam, semalam.

Justeru, Ku Li mengingatkan masyarakat kita supaya berpijak di bumi yang nyata, dan jangan bersikap seperti orang kaya.

“Kita berlagak, tapi poket kita kosong, nilai ringgit sudah mengecil, inflasi kos hidup atasi kemampuan sikap tetapi kita tetap tidak berubah… tetap boros berbelanja,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian