Wednesday, 1 October 2014

Malaysia akan rayu kes pingat emas pertama negara ditarik balik

Ketua kontinjen negara akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa atlet wushu, Tai Cheau Xuen (gambar) gagal ujian doping.

INCHEON: Kontinjen negara masih belum hilang emas pertama yang diraih menerusi atlet wushu Tai Cheau Xuen dalam kategori gabungan nanquan dan nandao pada Sukan Asia ke-17 di sini.

Ketua kontinjen negara Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa atlet terbabit gagal ujian doping.

Beliau berkata beliau akan mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa sementara Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana timbul keraguan terhadap ujian air kencing yang dijalankan terhadap atlet berkenaan.

"Dari awal kita telah pertikaikan cara sampel itu dikendalikan. Kita akan kemukakan rayuan kepada CAS secepat mungkin, pada hari ini juga.

"Saya akan jumpa Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (ketua pegawai eksekutif institut sukan negara dan pihak Institut Sukan Negara (ISN) dan buat satu rayuan menerusi CAS," katanya.

Menurut Daniyal, terdapat lima sampel atlet termasuk sampel atlet Malaysia yang dibawa bersama dan beliau tidak menafikan sekiranya berlaku kekeliruan atau kesilapan terhadap keputusan ujian yang dibuat.

"Ia adalah kelewatan yang terlalu lama bermula dengan sampel diambil hingga diserahkan kepada makmal.

"Mereka bagi alasan untuk kumpul sekali, baru hendak dibawa ke makmal untuk dibuat ujian. Kita akan merayu. Kita sudah menemuduga atlet terbabit dan kita dapati beliau tidak bersalah," katanya.

- Sumber: Bernama 

Peminat kecewa Jessica Jung keluar daripada Girls' Generation

Jessica Jung keluar daripada kumpulan SNSD.

KUALA LUMPUR: Peminat K-pop terkejut, sedih dan kecewa apabila mendapat tahu salah seorang anggota SNSD ataupun Girls' Generation, Jessica Jung, keluar daripada kumpulan tersebut.

Perbincangan mengenainya hangat di Twitter sehingga menjadikan kata kunci "Jessica", "Sica" dan "SNSD" trending di alam siber.

Menjadi antara ahli yang paling digemari dalam Girls' Generation, keputusan Jessica untuk keluar daripada kumpulan popular K-pop antarabangsa itu mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai.

Menurut syarikat rakaman kumpulan tersebut, SM Entertainment, mereka terpaksa melepaskan Jessica ekoran aktiviti perniagaannya dalam bidang fesyen yang mengganggu jadual kariernya.

Dalam pada itu, Jessica pula berkata beliau mengutamakan Girls' Generation berbanding aktivitinya yang lain, namun parah dengan keputusan dikeluarkan daripada kumpulan itu.

Selain Jessica, kumpulan Girls' Generation yang digilai kalangan remaja dianggotai lapan ahli lain iaitu Taeyeon, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun.

Girls' Generation kini berada di China dalam sesi beramah mesra bersama peminat mereka di sana.

- Sumber: Astro Awani