Monday, 29 September 2014

Bas bawa 24 pelajar USIM terbabas di Ulu Yam, tiga cedera parah

Bas terbabit kehilangan kawalan dipercayai selepas breknya gagal berfungsi.

KUALA LUMPUR: Sebuah bas yang dalam perjalanan ke Nilai, Negeri Sembilan terbabas ke bahu jalan dari lorong kiri Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, Selangor berdekatan Empangan Batu pada jam 6:30 petang tadi.

Bas yang membawa 24 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan dua orang pemandu itu dalam perjalanan pulang dari Kem Eco Ulu Yam menuju ke kolej mereka di Nilai.

Menurut Pegawai Penyiasat IPD Gombak, Ramachandran Letchumanan siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan brek bas yang gagal berfungsi secara tiba-tiba.


Foto Astro AWANI

“Bilangan yang cedera parah adalah tiga orang manakala 9 orang cedera ringan, mangsa-mangsa lain dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.



Foto Astro AWANI

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang dan Hospital Besar Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

Pasukan bomba dan penyelamat berada di tempat kejadian sehingga pukul 9:45 malam untuk membawa mangsa keluar dari bas.

- Sumber: Astro Awani 

Lelaki ditahan kes tipu ditemui mati di IPD Seberang Perai Utara

KEPALA BATAS: Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tipu, ditemui mati selepas dia dipercayai terjun dari tingkat satu bangunan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 56 tahun itu yang ditahan malam tadi di Kuantan, Pahang mengenai satu laporan polis di Butterworth berkaitan kes tipu, ditemui mati dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu.

"Lelaki yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu ditahan di Kuantan malam tadi sebelum dibawa balik ke IPD SPU dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika pegawai penyiasat sedang mengambil keterangan lelaki berkenaan. Lelaki yang bergari dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau itu secara tiba-tiba merempuh pintu bilik serta berlari keluar sebelum dia terjun, katanya.

Lelaki berkenaan yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian, katanya.

"Saya telah melawat tempat kejadian dan setakat ini kami dapati pegawai penyiasat serta pengawal pengiring yang bertugas ketika itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," kata Abdul Rahim.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya akan menyiasat kejadian itu secara terperinci dan jika terdapat unsur kecuaian, tindakan tegas akan diambil.

- Sumber: Bernama