Wednesday, 24 September 2014

Jangan sebar dokumen rahsia menerusi 'WhatsApp'

Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan bagi mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) hari ini mengadakan mesyuarat pertamanya 

Orang ramai diberi amaran bahawa tindakan menyebarkan dokumen-dokumen rahsia kerajaan termasuk kertas peperiksaan yang bocor menerusi media sosial seperti 'WhatsApp' boleh didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi Malaysia.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, mengeluarkan amaran itu selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan bagi mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) hari ini di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.

Mesyuarat turut dihadiri anggota jawatankuasa itu termasuk Datuk Dr. Mohd Tap Salleh (Presiden Institut Integriti Malaysia), Datuk Asariah Mior Shaharuddin (Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi (Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), Datuk Johari Jamaluddin (Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri), Dr Amiruddin Abdul Wahab (Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia), Tan Sri Datuk K. Kumaran (Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar) dan Loke Yim Peng (Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia).

Seorang lagi anggota, Tan Sri Prof Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin tidak dapat hadir kerana urusan rasmi yang lain.

Tun Zaki berkata mesyuarat jawatankuasa pada hari ini lebih memfokuskan dalam memahami proses pengedaran dan penyediaan kertas-kertas soalan kepada pusat peperiksaan dan sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Kami juga akan mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah dan pusat percetakan untuk memahami proses itu. Lawatan-lawatan ini akan dibantu oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri," kata beliau dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat pagi tadi.

Selain itu katanya mesyuarat selama dua kali seminggu akan diadakan dalam tempoh tiga bulan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menambah baik operasi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan proses peperiksaan awam di negara ini kata beliau.

Beliau berkata satu laman web turut dibuka bagi membolehkan orang ramai memberi cadangan dan teguran kepada LPM di http://www.moe.gov.my/lp.

Jawatankuasa senbilan anggota itu ditubuhkan minggu lepas ekoran kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 baru-baru ini.

Sebelum ini, soalan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 dan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatal dan ditangguhkan kerana berlaku kebocoran itu.

LPM telah menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

Disusuli Ahad lalu polis menerima laporan mengenai kebocoran dua lagi kertas peperiksaan UPSR iaitu kertas Bahasa Tamil dan Matematik.

Susulan daripada laporan itu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Oktober setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik seperti percetakan dan pengedaran.

- Sumber: ASTRO Awani 

Rakyat Amerika sambut kedatangan Najib di bandar raya New York

Gambar Datuk Seri Najib Tun Razak disiar di Times Square bagi mengalukan kedatangan Perdana Menteri ke bandaraya ini sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Selasa. - Foto Bernama


NEW YORK: We welcome the Honorable Najib Razak, Prime Minister of Malaysia to New York city, (Kami mengalu-alukan kedatangan Yang Amat Berhormat Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia di Bandar raya New York), mesej ini terpampang pada sebuah papan iklan di Times Square, di sini.

Mesej itu daripada persatuan pelancongan United States Tour Operators Association and Pacific Asia Travel Association (PATA) cawangan New York.

Menurut pegawai kanan Tourism Malaysia, Ahmad Johanif Mohd Ali berpejabat di ibu kota ini, kedua-dua persatuan memberitahu beliau bahawa iklan itu akan disiarkan setiap hari antara 20 Sept dan 30 Sept.
Selain mesej, iklan berkenaan juga memaparkan gambar Najib.

Terdapat lapan slot iklan seperti itu bagi setiap jam dengan setiap slot selama 30 saat, kata Ahmad Johanif yang juga Naib Presiden, Tourism Malaysia bagi Timur USA, Caribbean, Argentina, Chile, Paraguay dan Uruguay.

Mereka memaparkan iklan itu kerana mereka tahu perdana menteri berada di bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu," katanya.

Times Square merupakan titik utama persimpangan komersial di simpang Broadway dan Seventh Avenue antara West 42nd Street dan West 47th Street.

Tempat ini merupakan satu daripada tempat tarikan yang paling banyak dikunjungi pelancong hingga hampir 40 juta pelawat setahun dengan anggaran 330,000 orang melintasi dataran ini setiap hari.

- Sumber: Bernama