Wednesday, 17 September 2014

Panda gergasi terima lawatan tetamu diraja

Panda gergasi terima lawatan tetamu diraja

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan berangkat ke Zoo Negara di sini untuk melihat pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit dan Presiden Zoo Negara Datuk Seri Zaharin Md Arif serta pegawai kementerian.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudian menaiki tram dengan
diiringi Dawos dan Zaharin ke Pusat Konservasi Panda Gergasi dan kemudian mendengar taklimat disampaikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian meluangkan masa selama 20 minit melihat pasangan panda gergasi itu termasuk memberi makan buah epal kepada panda jantan, Xing Xing, sebelum berangkat pulang.

Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sehingga 31 Ogos lalu, seramai 82,597 pelawat telah mengunjungi Pusat Konservasi Panda Gergasi sejak ia dibuka kepada orang awam.

Pusat konservasi tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun lalu.

Dalam majlis perasmian tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan nama tempatan bagi pasangan panda berkenaan iaitu Xing Xing bagi panda jantan dan Liang Liang bagi panda betina yang sebelum ini dikenali sebagai Fu Wa dan Feng Yi.

Pasangan panda tersebut telah dipinjamkan kepada Malaysia oleh kerajaan China menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang berperanan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan China.

Ia juga bersempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

-- Sumber: Bernama

Chong Chieng Jen mohon maaf, tarik balik kenyataan

Chong Chieng Jen mohon maaf, tarik balik kenyataan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuching yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen hari ini memohon maaf atas kenyataannya berkenaan lagu Negaraku yang dibuatnya menerusi laman sosial Facebook.

"Walaupun saya merasakan agak tidak sesuai untuk memainkan lagu kebangsaan di tempat hiburan seperti panggung wayang, namun perkataan yang telah saya gunakan agak tidak bersesuaian.

"Saya dengan ini menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf. Saya tidak berniat untuk merendahkan lagu kebangsaan. Sebaliknya, saya bersama keluarga berdiri sewaktu lagu kebangsaan itu dimainkan," seperti yang tertulis di akaun Facebook miliknya.


Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengecam tindakan Chong yang memperlekehkan lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

-- Sumber: Astro Awani