Tuesday, 16 September 2014

Azan iringi pengebumian jenazah Mohd Lotfi

Status upacara pengebumian Mohd Lotfi yang dikemas kini rakannya melalui Facebook.
Status upacara pengebumian Mohd Lotfi yang dikemas kini rakannya melalui Facebook.

ALOR SETAR - Jenazah Mohd Lotfi Ariffin, 45, yang meninggal dunia selepas Maghrib (waktu Syria), kelmarin, selepas bertarung nyawa enam hari lalu kerana koma akibat diserang hendap 9 September, selamat dikebumikan bersama rakan seperjuangannya dari Malaysia yang turut terkorban.

Berdasarkan maklumat yang dikemas kini melalui Facebook rakannya, Akel Zainal II yang berada di negara bergolak itu, awal pagi semalam, memaklumkan, jenazah Mohd Lotfi atau diberi gelaran Abu Musab tiba di Kafr Zetta, Syria selepas waktu Maghrib.

“Sepatutnya jenazah dijangka tiba esok (hari ini), Alhamdulillah tiba lebih awal dari jangkaan. Jasadnya masih lagi berpeluh dan darah terus mengalir dari kesan-kesan luka walaupun selepas sehari syahid. Ketika jenazah diturunkan ke liang lahad, azan Isyak berkumandang,” katanya.

Seorang lagi rakannya yang turut berada di Syria, Ahmad Salman Abdul Rahim turut memuat naik status berhubung urusan pengebumian Mohd Lotfi.

“Kelewatan urusan pengebumian berlaku kerana beberapa proses dokumentasi dan sebagainya yang perlu diselesaikan di Hospital Antarkia, Turki, sebelum dibawa masuk ke Syria.

Namun syukur pengurusan Ajnad Al Sham khususnya bertungkus lumus menjaga dan menguruskan proses rawatan di Turki sehinggalah kembali ke Syria,” katanya.

Beberapa gambar ketika urusan pengebumian Mohd Lotfi turut dirakamkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kafr Zatay, berdekatan pusara sahabatnya, yang terkorban dalam kejadian serang hendap itu, Mohammad Fadhlan Shahidi, 21, atau diberi gelaran Abu Muhajir.

Kejadian terbaharu ini menjadikan tiga rakyat Malaysia terkorban di Syria setelah menyertai kumpulan Ajnad Al Sham memerangi tentera Bashar al-Assad.

Sebelum ini, dalam kejadian 20 Ogos lalu, Zainan Harith, 52, atau dikenali Mat Soh dengan gelaran Abu Thurab meninggal dunia selepas dibedil kereta kebal tentera al-Assad.

-- Sumber (foto & berita): Sinar Harian 

Guna sos cili tulis 'Malaysia' minta bantuan

Penduduk terpaksa berasak di atas sebuah jentera untuk ke pusat pemindahan setelah banjir melanda Kashmir.
Penduduk terpaksa berasak di atas sebuah jentera untuk ke pusat pemindahan setelah banjir melanda Kashmir.

SEPANG - "Kami terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menarik perhatian bagi menyelamatkan diri, termasuk menggunakan sos cili untuk menulis perkataan 'Malaysia' atas tuala".

Selain itu, sekumpulan 15 rakyat Malaysia itu yang terpaksa menyelamatkan diri ke bumbung hotel dalam suhu 16 darjah celcius turut menggantung baju yang mempunyai corak bendera Malaysia.

Mereka terpaksa duduk atas bumbung hotel setinggi empat tingkat itu selama beberapa jam pada 7 Sept lepas selepas terperangkap dalam banjir yang melanda Jammu dan Kashmir, India, baru-baru ini, sebelum diselamatkan penduduk setempat.

Menceritakan detik mencemaskan itu yang dilaluinya bersama-sama 15 anggota keluarga dan rakan, Farisha Elaina Abdul Hanif berkata, cuaca sejuk ketika itu tidak dihiraukan kerana apa yang lebih penting kami diselamatkan.

"Kami melakukan apa sahaja bagi menarik perhatian badan penyelamat semasa berada atas bumbung hotel itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Farisha Elaina, 23, berkata mereka pergi ke Jammu dan Kashmir bagi menghadiri majlis perkahwinan kakaknya dengan seorang rakyat negara itu dan telah terkandas sembilan hari sejak 6 September di kawasan itu.

Katanya kakak dan abang iparnya juga kembali ke tanah air hari ini tetapi menaiki Malindo Air dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menceritakan pengalaman tersebut, Farisha Elaina berkata hotel yang diduduki mereka berhadapan dengan empangan 'Tasik Dall' dan hujan lebat berterusan menyebabkan empangan tersebut pecah dan melimpah ke dalam hotel.

Beliau berkata dalam masa 24 jam sahaja air dari paras dada telah meningkat sehingga ke paras bumbung.

"Untuk menyelamatkan diri ke atas bumbung itu juga kami bertarung nyawa untuk meredah air yang deras. Setelah beberapa jam duduk atas bumbung hotel, kami diselamatkan oleh penduduk setempat dengan menggunakan sampan," katanya.

Katanya cabaran yang dihadapi bukan terhenti di situ malah terpaksa berebut dengan kira-kira 5,000 penduduk setempat untuk menaiki trak tentera untuk ke tempat yang lebih selamat.

Beliau berkata setelah beberapa hari terkandas, akhirnya mereka dibawa menaiki helikopter ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Sementara itu ibu Farisha Elaina, Datin Norzam Aini Hamzah, 59, berkata pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi melakukan tugas mereka dengan cekap dan pantas bagi menyelamatkan rakyat Malaysia.

"Saya ingin berterima kasih kepada pihak suruhanjaya kerana cekap menjalankan tugas dan berusaha keras menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia," katanya. 

--Sumber: Bernama