Friday, 12 September 2014

Luluh hati anak saya tidak dapat ke AS dek kebocoran kertas UPSR

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi persaingan dan cabaran demi cabaran serta menewaskan hampir 70 orang pelajar, Alisya Sofea berjaya merebut peluang ke Amerika Syarikat dalam satu rombongan yang dianjurkan oleh Kelab Aeroangkasa sekolahnya.

Namun, setelah pengumuman bahawa semua pelajar Tahun 6 perlu mengulang semula peperiksaaan UPSR bagi subjek Sains dan Bahasa Inggeris pada September 30, ia telah menghancur impian Alisya, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Kuala Lumpur, yang meletakkan harapan tinggi untuk menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat.

Ini kerana, pelajar-pelajar yang terpilih akan berlepas ke Amerika Syarikat pada 19 September dan hanya akan kembali ke Malaysia pada 29 September, iaitu sehari sahaja sebelum hari peperiksaan ulangan tersebut.

“Saya tahu Alisya betul-betul bekerja keras untuk mengejar hasratnya untuk ke Amerika Syarikat tetapi tarikh kepulangan selepas lawatan ke sana tidak begitu sesuai,” kata Sheila Hambali, ibu Alisya yang berumur 41 tahun itu kepada Astro AWANI semalam.

“Perjalanan ke AS akan merangkumi lawatan ke Smithsonian (muzium dan pusat penyelidikan), lawatan ke beberapa buah sekolah rendah dan peserta diperlukan menghadiri sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Washington D.C.

“Saya telah cuba bertanya para guru sekiranya sebarang perubahan (tarikh lawatan) boleh dilakukan tetapi gagal kerana tiket penerbangan sudah tidak boleh ditukar,” kata Sheila yang juga telah memaklumkan bahawa terdapat empat lagi pelajar Tahun 6 termasuk anaknya yang sepatutnya dijadualkan bertolak ke Amerika Syarikat.

“Saya risau (sekiranya) selepas kepulangan, dia mungkin mengalami jet lag atau hilang tumpuan. Dia mungkin juga tidak dapat berseronok ketika lawatan itu kerana risau akan peperiksaan yang perlu didudukinya,” kata Sheila.

Sheila memujuk anakya Alisya setelah mendapat tahu bahawa UPSR telah ditangguhkan


Lain pula pengalaman Suriati Karina Mohamed Kamal, 37 yang berkata anak sulungnya, Suria Zarina Huesen terus menangis sebaik mendapat tahu bahawa kertas Sains UPSR telah ditunda.

“Saya dan suami saya sepatutnya membawa anak-anak kami ke Melaka pada hujung minggu ini sampai hari Selasa memandangkan cuti panjang sempena Hari Malaysia. Anak-anak kami teringin sangat hendak melawat kandang arnab. Nampaknya perjalanan ke negeri bersejarah itu perlu ditangguhkan."

Suriati Karina berkata bahawa pelajar-pelajar Tahun 6 ini sudah menempuh pelbagai rintangan untuk dilalui.

Walau bagaimanapun, ibu yang optimis itu menganggap bahawa terdapat rahmat di sebalik kejadian itu kerana anaknya mempunyai lebih masa untuk membuat persediaan.

“Perkara ini juga dapat memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar untuk bersedia berdepan dengan apa sahaja situasi dan peluang kedua jarang muncul,” kata Suriati Karina, seorang ibu yang bermaustautin di Petaling Jaya.


Suriati bersama anaknya,Suria pada hari pertama peperiksaan UPSR pada Selasa


--Sumber: Astro Awani 

Mayat separuh bogel dijumpai sebelah Pasar Selayang

Mayat sedang diangkat oleh pihak polis

SELAYANG: Mayat seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel telah ditemui di dalam sebuah longkang sebelah Pasar Selayang, pagi tadi.

Orang awam yang menemui mangsa kira-kira jam 8.00 pagi tadi itu pada mulanya menyangkakan ianya sampah terapung.

Mereka yang terkejut melihat mangsa yang terapung itu segera menghubungi polis.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang turut dikejarkan ke lokasi bagi mengangkat mangsa.

Hasil pemeriksaan forensik menemui kesan-kesan luka di badan mangsa. Namun, punca kematian tidak dapat dipastikan berikutan keadaan mangsa yang sudah kembung dimasuki air.

Menurut ketua polis daerah Sentul, ACP R. Munusamy, mangsa disyaki berbangsa asing mati lebih dari tempoh 24 jam.

Polis masih menyiasat sama ada kejadian berunsurkan jenayah atau sebaliknya.

Mayat dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

-- Sumber: Astro Awani