Monday, 8 September 2014

Operasi nombor pendaftaran, 'strobe light' bermula 1 Okt

JPJ

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Nombor Pendaftaran dan penggunaan 'strobe light' pada kenderaan di seluruh negara secara berperingkat mulai 1 Oktober depan. 

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata operasi pada peringkat pertama itu akan bermula selama sebulan sementara peringkat kedua akan bermula pada 1 November.

"Operasi itu akan melibatkan anggota penguatkuasa dari seluruh negara serta mendapat kerjasama polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata bagi peringkat pertama JPJ akan mengeluarkan notis amaran, peringatan dan nasihat kepada pengguna jalan raya serta cara penggunaan nombor plat yang betul.

Katanya sepanjang operasi peringkat pertama, anggotanya akan mengedarkan risalah spesifikasi nombor pendaftaran kenderaan yang telah ditetapkan di bawah kaedah 6 Kaedah-kaedah kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

Ismail berkata pemeriksaan melalui sekatan jalan raya dan rondaan oleh anggota JPJ pada peringkat pertama tidak akan dikenakan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan. 

"Mereka akan diberikan surat peringatan supaya nombor pendaftaran yang dipamer ditukar kepada nombor pendaftaran yang mengikut peraturan," katanya. 

Bagaimanapun mulai 1 November, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM300.

JPJ juga akan meminta pemilik kenderaan melucut 'strobe light' dari kenderaan mereka.

Beliau berkata JPJ juga telah meningkatkan operasi penguatkuasaan khas bagi kenderaan barangan yang lebih muatan dan membawa barangan yang berbahaya dalam skala besar. 

--Sumber:  Bernama

Bom Perang Dunia Kedua dimusnah pagi ini



KUALA LUMPUR - Usaha memusnahkan sebutir bom lama yang ditemui di kawasan hutan di Bukit Cheras Awana, Batu 9, Cheras semalam, akan dilakukan pagi ini (Isnin).

Bom itu dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua dan usaha memusnahkannya akan dilakukan sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB).

Pegawai Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Hadi Abd Rasip berkata sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar menghentikan sebarang aktiviti rekreasi seperti memanjat bukit di kawasan Bukit Cheras Awana dan sekitarnya, bermula Isnin hingga Selasa.

"Bertindak atas maklumat awam, sepasukan UPB dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah melaksanakan operasi menjejaki bom itu hari ini dan menemui sebutir bom lama, bagaimanapun setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada ia masih aktif ataupun tidak," katanya ketika dihubungi.

Abdul Hadi berkata bom lama itu, dianggar seberat hampir 500 paun, dijumpai orang awam dalam kawasan hutan di sini pada kira-kira 7 malam, pada (Sabtu).

"Setakat hari ini, kita tidak dapat melaksanakan operasi memusnah bom berkenaan berikutan UPB menghadapi masalah membawa masuk peralatan mereka keranakeadaan kawasan itu yang berbukit dan hutan tebal," katanya. 

--Sumber:  Bernama