Monday, 1 September 2014

Chong Wei terus kempunan kejuaraan dunia sulung

Lee Chong Wei gagal dalam percubaan kali ketiga pada Kejohanan Dunia BWF 2014.

COPENHAGEN: Kemarau kejuaraan dunia sulung terus menghantui jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selepas beliau gagal dalam percubaan kali ketiga pada Kejohanan Dunia BWF 2014 di sini.

Kesilapan di jaring selain hantaran yang kerap keluar daripada Chong Wei nyata memberi peluang kepada lawannya, Chen Long dari China untuk memenangi gelaran juara dunia dengan keputusan 21-19 dan 21-19 di Ballerup Super Arena, di sini, pada Ahad.

Kemenangan tersebut membolehkan pemain nombor dua dunia itu muncul juara dunia buat kali pertama selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada 2011 di England selain kalah kepada rakan sepasukan, Lin Dan pada saingan suku akhir, dua tahun kemudian di laman sendiri.

Chong Wei pula pernah mara ke final pada dua edisi berkenaan namun disekat oleh musuh tradisinya, Lin Dan.

Pada 2011, beliau kalah kepada Lin Dan dalam aksi tiga-set; 22-20, 14-21 dan 21-23 manakala pada 2013, kekejangan otot yang dialaminya pada set penentuan ketika berdepan pemain sama, meranapkan impiannya meraih kejuaraan dunia pertama.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata beliau sudah memberikan persembahan terbaik namun Chen Long lebih bijak mengatur strategi selain mengetahui corak permainannya.

"Saya lihat Chen Long bermain agak agresif pada kali ini dan saya cuba mengelak untuk melakukan kesilapan namun ia tetap terjadi...Beliau akan cuba sedaya upaya untuk mengembalikan semula hantaran dan pukulan kencang saya," katanya.

Anak jati Pulau Pinang itu mengakui sikap terlalu berhati-hati yang dipamerkan pada set pertama selain tertekan ketika ketinggalan kepada pihak lawan menjadi punca kekalahannya.

Chong Wei turut meminta maaf di atas kegagalannya membawa pulang kejuaraan dunia sempena Hari Kemerdekaan Negara ke-57 yang disambut pada Ahad.

Pemain berusia 31 tahun itu turut menegaskan akan terus beraksi pada Kejohanan Dunia 2015 di Indonesia serta Sukan Olimpik 2016 di Brazil walaupun semakin dimamah usia.

Sementara itu, Chen Long berkata kejayaan itu amat berharga bagi dirinya selepas mengalami kekalahan teruk pada dua edisi lepas, sekali gus menyuntik semangat untuk menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, bermula 19 Sept ini.

"Saya amat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih Li Yongbo kerana memberi kata-kata semangat selepas persembahan buruk pada Piala Thomas 2014 di India awal tahun ini," katanya sambil memuji semangat juang Chong Wei dalam pertarungan sengit selama 69 minit itu.

-- Sumber: Bernama

BAM kecewa, minta maaf kepada rakyat Malaysia

Lee Chong Wei (kanan) kelihatan kecewa setelah tewas kepada Chen Long. Bersamanya dalam gambar ialah jurulatih Hendrawan (kiri) dan Tey Seu Bock (dua dari kanan).

COPENHAGEN: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan skuad negara menghadiahkan gelaran dunia sempena Hari Kemerdekaan ke-57, Ahad.

Timbalan presidennya Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata beliau kecewa dengan persembahan skuad negara pada Kejohanan Dunia BWF 2014 di sini kerana gagal mengakhiri kemarau gelaran sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1977.

Beliau turut bersimpati dengan nasib Datuk Lee Chong Wei yang terus kempunan untuk memenangi kejuaraan dunia sulungnya walaupun telah memberikan persembahan terbaik menentang pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China.

"Saya kecewa kerana kita gagal menamatkan badi selama 37 tahun namun saya turut bersimpati dengan Chong Wei yang telah mencuba sedaya upaya untuk menang namun nasib lebih memihak kepada Chen Long," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu di sini.

Bagaimanapun, beliau bangga dengan peningkatan persembahan yang dipamerkan oleh perseorangan utama wanita negara, Tee Jing Yi walaupun kalah seawal pusingan kedua kepada juara dunia baharu, Carolina Marin dari Sepanyol.

Pilihan kesembilan itu melakar sejarah tersendiri selepas muncul pemain Sepanyol pertama muncul juara dunia selepas mengejutkan juara Olimpik dan pilihan utama, Li Xuerui dari China dengan kemenangan 17-21, 21-17 dan 21-18.

Malaysia gagal meraih sebarang kejuaraan selepas sebahagian besar wakil negara termasuk pemain wanita negara tersingkir pada pusingan awal kejohanan.

Kejohanan Dunia 2015 bakal diadakan di Jakarta, Indonesia.

Mohamad Norza berkata BAM akan terus mempertingkatkan usaha dalam mengetengahkan pemain pelapis bagi menggantikan pemain senior sedia ada.

Katanya skuad negara tidak boleh terus mengharapkan Chong Wei untuk terus menghadiahkan kejayaan untuk negara dalam sesuatu kejohanan.

Justeru, katanya BAM akan cuba mencari pelbagai kaedah untuk memastikan pemain pelapis yang sedia ada akan terus dilatih dan diberi pendedahan bagi mencari pengganti Chong Wei.

-- Sumber: Bernama