Friday, 29 August 2014

Uber turut timbulkan 'masalah' di Jakarta

Bandar-bandar seperti Berlin dan Hamburg turut melarang perkhidmatan Uber. - Foto blog.uber.com

KUALA LUMPUR: Uber, syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar bukan sahaja telah menimbulkan masalah di Kuala Lumpur, ia juga telah menimbulkan masalah di Jakarta.

Baru-baru ini, Timbalan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama telah menggesa syarikat itu supaya menghentikan operasinya kerana tidak memiliki permit pengangkutan awam.

Menurut laporan The Jakarta Globe, beliau menekankan keperluan Uber Technologies untuk mendapatkan lesen dari agensi pengangkutan bandar tersebut.

Katanya kemungkinan besar syarikat itu tidak memiliki nombor pendaftaran cukai, selain butiran tentang alamat premis dan maklumat pemilik.

"Mereka perlu permit untuk menjelaskan tentang status syarikat. Mereka sedang melakukan perniagaan di Indonesia, dan kita ada peraturan," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Ahok itu seperti yang dipetik The Jakarta Globe.

Katanya jika sesebuah syarikat itu mengaut keuntungan, ia perlu membayar cukai, dan jika ia tidak mempunyai permit bermakna ia tidak membayar cukai dan ia sama seperti lari dari cukai.

Ahok berkata keselamatan penumpang juga mungkin akan terjejas kerana teksi yang sah akan mempunyai butiran mengenai pemandu serta nombor kenderaan, dan kenderaan Uber tiada butiran seperti itu.

Selain Jakarta, pihak berkuasa Berlin juga telah mengarahkan supaya perkhidmatan applikasi Uber diharamkan di bandaraya itu atas faktor-faktor keselamatan.

Menurut The Guardian, perkhidmatan itu tidak memberikan perlindungan yang secukupnya kepada penumpang.

Seorang anggota Senat berkata, Uber gagal membekalkan perlindungan insuran kepada pemandu serta penumpang yang dibawa sendainya berlaku kemalangan.

"Uber tidak lagi dibenarkan menggunakan aplikasi telefon pintar atau aplikasinya sepertinya, atau memberi apa-apa perkhidmatan melalui aplikasi yang melanggar peraturan Akta Pengankutan Awam," katanya mengulas tentang penggunaan Uber yang turut dilarang di Hamburg.

Bagaimanapun mahkamah Hamburg pada bulan telah lalu menarik balik larangan tersebut sementara menunggu keputusan muktamad.

Sementara itu, Menteri Kewangan Australia Selatan, Tom Koutsantonis perpandangan bahawa perkhidmatan tersebut boleh mendatangkan risiko kepada penumpang.

Katanya menerusi temubual ABC Radio, adalah amat bahaya apabila penumpang menggunakan perkhidmatan Uber kerana mereka tidak tahu siapa pemandunya.

Di Australia, kerajaan New South Wales dan Queensland telah mula mengambil tindakan terhadap Uber atas alasan syarikat itu tidak mematuhi peraturan perkhidmatan teksi.

Terbaru, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan telah meminta Uber mematuhi undang-undang berhubung perkhidmatan itu kepada pelanggan di Malaysia.

Menurut SPAD, syarikat itu melakukan beberapa kesalahan seperti menggunakan kenderaan peribadi bagi mengangkut penumpang - satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

-- Sumber: Astro Awani 

Pakar bedah gila seks dihantar pulang ke Malaysia

MORRISON: Dr Suresh sudah meninggalkan Australia pada Selasa

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bedah kelahiran Malaysia di Sydney yang dipenjara kerana menyebabkan kematian dua pelacur akibat dadah, Dr Suresh Nair, telah dihantar pulang ke negara ini.

Menurut laporan the Daily Telegraph, Menteri Imigresen Australia Scott Morrison telah mengarahkan penghantaran pulang Dr Suresh ke Malaysia dan dia sudah pun meninggalkan Australia pada Selasa.

Dr Suresh dipenjara pada tahun 2011 kerana membunuh pelacur berusia 22 tahun, Domingues Zaupa, yang mengambil kokain berlebihan semasa pesta di sebuah apartmen mewah pakar bedah itu di Sydney pada tahun 2009.

Dr Suresh juga mengaku bersalah membekalkan kokain, yang menyebabkan kematian pelacur Victoria McIntyre, 23, di apartmennya kurang setahun selepas itu.

Mahkamah turut dimaklumkan McIntyre mati di bilik tidur sementara Dr Suresh melanggan beberapa lagi pelacur pada waktu marathon seks dan dadah itu.

Dr Suresh juga bertanggungjawab di bawah semua pertuduhannya selepas dibebaskan di bawah sistem parol pada 31 Julai.

Dr Suresh sudah menetap di Australia sejak kecil tetapi tidak pernah diberi kerakyatan negara itu.

"Saya mengambil tanggungjawab serius ini untuk mempertahankan Australia daripada ancaman bukan rakyat negara ini terutama berkenaan kes-kes jenayah," ujar Morrison.

Kes Dr Suresh pertama kali dilaporkan pada tahun 2004 ketika disahkan positif dadah di Hospital Nepean. Dia dipenjarakan selama lima tahun dan tiga bulan pada 2011 tetapi dikurangkan selepas membuat rayuan.

-- Sumber: Agensi