Thursday, 21 August 2014

Pegawai bank, suami didakwa keluar wang lebih RM85,000 milik mangsa MH370

Mereka boleh dihukum penjara selama dua tahun atau didenda jika sabit kesalahan. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank HSBC dan suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap beberapa pertuduhan berhubung pemindahan dan pengeluaran wang berjumlah RM85,180 daripada akaun milik empat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, antara Mei dan Julai lepas.

Nur Shila Kanan, 33, menghadapi 12 pertuduhan manakala suaminya yang juga mekanik, Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, 33, berdepan empat pertuduhan.

Mereka mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Nur Shila menghadapi empat pertuduhan memindahkan wang milik rakyat Malaysia Hue Pui Heng berjumlah RM40,000 ke dalam akaun rakyat China, Tian Jun Wei manakala RM35,000 lagi dipindahkan ke dalam akaun Ali Faran Khan.

Dia didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nur Shila turut berdepan tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu borang permohonan baharu kad debit atas nama Tian dan dua borang pindahan tempatan akaun simpanan atas nama Ju Kun, warganegara China dan Tan Size Hiang, seorang pramugara.

Dia juga didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Borang Permohonan Perkhidmatan Perbankan Internet atas nama Judy Margaret Lai untuk mendapatkan 'Security Device' bagi mengaktifkan perkhidmatan perbankan internet.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nur Shila juga menghadapi dua pertuduhan menipu penyelia bank, Nor Aini Derus@Mat Rose dan Mohd Fazli Mokhtar untuk mempercayai permohonan baharu kad debit bagi akaun simpanan Tian dan Lai telah dibuat oleh pemohon sendiri.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nur Shila juga didakwa terhadap dua pertuduhan mencuri wang berjumlah RM2,530 daripada akaun Ju Kun dan Tan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan alternatif iaitu mencuri wang milik empat mangsa yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di bank HSBC tempat dia bekerja di cawangan Lebuh Ampang, di sini antara 14 Mei dan 8 Julai lepas.

Basheer Ahmad Maula pula berdepan empat pertuduhan menggunakan kad debit dan kad ATM akaun simpanan Tian untuk mengeluarkan wang berjumlah RM7,650 dalam empat transaksi berasingan.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.

Tertuduh juga didakwa bagi empat pertuduhan alternatif iaitu mencuri wang sama daripada akaun simpanan yang sama mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di ATM HSBC Amanah Ampang Point, Ampang di sini antara 10.02 pagi 15 Mei lepas dan 11.28 malam 29 Jun lepas.

Mat Ghani membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos ini bagi sebutan kes dan memerintahkan kes itu dibicarakan bersama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memohon supaya kes itu dibicarakan bersama atas alasan kes itu melibatkan transaksi yang sama.

- Sumber: Bernama

'Mereka ibarat wira'

Hairuddin tercungap-cungap selepas dinaikkan Mohamad ke darat.
Hairuddin tercungap-cungap selepas dinaikkan Mohamad ke darat.

KEMAMAN - Tindakan pantas tiga pemuda berjaya mengelak dua beranak daripada mati lemas ketika sedang mandi-manda di Pantai Penunjuk, Kijal dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Hairuddin Rahmat, 37, cuba memaut leher anak saudaranya, Abdul Shukur Mahat, 19, yang dibawa arus, sebelum kedua-duanya tenggelam timbul beberapa kali dengan tangan terkapai-kapai.

Ibu mentua Hairuddin, Tengku Kamariah Tengku Besar, 45, berkata, ketika kejadian, dia berada di tepi pantai dan nampak menantunya melambai ke arah mereka dalam jarak kira-kira 200 meter di dalam air.

“Pada awalnya, saya sangka Hairuddin melambai sebab mahu panggil isterinya untuk mandi bersama. Anak saya ketika itu terus masuk ke dalam air dan apabila jarak mereka makin dekat, barulah anak saya dengar teriakan suaminya meminta tolong.

“Lepas anak menjerit memaklumkan suaminya dan anak saudara mereka lemas, saya segera panggil beberapa pemuda berdekatan yang kemudiannya terjun ke dalam air,” katanya.

Menurut Kamariah, dia tidak menyangka mereka berdua lemas kerana ketika itu air tenang dan tidak pasang, selain ramai yang turut mandi-mandi di sepanjang pantai berkenaan.

Katanya, selepas dinaikkan ke darat, Hairuddin dan Abdul Shukur dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan, namun Abdul Shukur ditahan semalaman di dalam wad sementara Hairuddin pula hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Saya sekeluarga amat terhutang budi pada tiga pemuda yang menaikkan Hairuddin dan Abdul Shukur ke darat. Mereka ibarat wira. Terima kasih juga buat beberapa pemuda lain yang memberi pertolongan cemas selepas mereka berdua dibawa ke darat. Jasa mereka tak dapat kami sekeluarga balas,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada pemuda terbabit, Mohamad Othman, 25, berkata, selepas mendengar teriakan ahli keluarga mangsa di tepi pantai, dia bersama dua lagi rakan yang sedang melihat beberapa belia bermain bola sepak, segera berlari ke dalam air.

“Dalam jarak kira-kira 300 meter, saya nampak dua lelaki terkapai-kapai. Jadi, saya bersama rakan segera berenang ke arah mereka.

"Saya memaut leher Hairuddin, sementara dua lagi rakan memaut leher Abdul Shukur dan kemudian mengheret mereka ke daratan," katanya.

- Sumber: Sinar Harian