Sunday, 10 August 2014

Khalid Ibrahim akan jumpa Majlis Penasihat Raja-Raja Isnin

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Raja-Raja dijadualkan akan bermesyuarat esok (Isnin) bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Abdul Khalid berkata beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai Menteri Besar serta dinasihatkan supaya tidak membuat apa-apa kenyataan sehingga mesyuarat tersebut selesai.

"Saya juga telah dinasihatkan oleh peguam supaya tidak membuat apa-apa kenyataan agar tidak menganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang," jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mengulangi kenyataannya semalam yang menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mesikpun katanya tindakan itu salah dan tidak menurut undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan parti.

Abdul Khalid, pada Sabtu telah dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.

- ASTRO awani 

Apa tindakan Khalid selepas kena pecat?

ABDUL KHALID: Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab tuduhan terhadap saya. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahimmenerima keputusan Parti Keadlian Rakyat untuk membatalkan keahlian beliau dalam parti. Namun, beliau akan menghadap Sultan Selangor dan mendengar pandangan baginda tentang perkembangan terbaru ini.

Beliau juga berkata akan terus berkhidmat sebagai Menteri Besar sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul.

Berikut adalah kenyataan penuh Abdul Khalid yang dimuatnaik di akaun Facebook dan Twitter beliau:

Saya menerima keputusan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang.

Seperti yang saya nyatakan menerusi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab, pihak parti itu sendiri keliru dengan maklumat lanjut mengenai tuduhan terhadap saya. Malah, PKR gagal menjelaskan secara khusus artikel dalam perlembagaan parti yang telah saya cabuli.

Saya juga ingin menyatakan walaupun saya telah memohon sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin ditangguhkan kepada 15 Ogos 2014 tetapi tiada jawapan balas diberikan.

Sebaliknya, Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa mendengar penjelasan daripada saya. Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab tuduhan terhadap saya mengikut proses yang betul. Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti.

Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, dan mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi.

Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuan saya.

Terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam menempuh masa-masa yang sukar ini.

Ekoran pemecatan ini, Abdul Khalid mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu keputusan Mesyuarat Pemimpin Pusat (MPP).

Sementara itu, beberapa ahli Pakatan Rakyat (PR) berkata pemecatan Abdul Khalid adalah wajar.

"Saya rasa ia adalah satu langkah yang betul. Khalid telah diberi peluang untuk membela diri. Terdapat proses. PKR mempunyai hak untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya. Saya rasa ini adalah satu kes, memandangkan keadaan, wajar menerima pemecatan,” kata ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo

Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd. Akin mahukan Abdul Khalid memberi laluan kepada Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail:


Saya alu2kan kesediaan TS@Khalid_Ibrahim terima keputusan @KEADILAN. Saya ingin mengajak TS untuk beri laluan kpd @drwanazizahscra hormat.— Shamsul Iskandar (@shamsuliskandar) August 9, 2014


Sementara itu, ahli politik Zaid Ibrahim berkata Abdul Khalid harus memohon pembubaran:


TS Khalid has to request for dissolution. Issue too big to be sorted out by any other way #fb— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) August 9, 2014

Election cost money sure but so is private jets #fb— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) August 9, 2014

- Astro Awani