Saturday, 9 August 2014

Ketua Menteri P. Pinang teruskan saman terhadap Nasrudin

LIM: Nasrudin bukan sahaja tidak memohon maaf atas kenyataan tersebut tetapi membuat kenyataan berunsur fitnah.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meneruskan tindakan undang-undang terhadap anggota Parlimen (MP) Temerloh Nasrudin Hassan kerana gagal memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah.

Lim berkata notis tindakan dihantar semalam kepada anggota Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berhubung kenyataannya di laman sosial bertajuk 'Apa beza Kidex dan Penang tunnel?", pada 6 Ogos lepas.

Beliau berkata Nasrudin bukan sahaja tidak memohon maaf atas kenyataan tersebut tetapi membuat kenyataan berunsur fitnah menyatakan projek terowong dasar laut dilakukan secara rundingan terus.

"Nasrudin tidak memohon maaf malah membuat kenyataan lain dan ia akan dirujuk kepada peguam saya. Notis yang dihantar semalam adalah berdasarkan kenyataan pertamanya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 6 Ogos lepas, Nasrudin mempersoal mengapa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikecam berhubung projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi tindakan sama tidak ditujukan kepada Guan Eng dalam pembinaan terowong dasar laut yang didakwanya diberikan secara rundingan terus.

Menurutnya, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion itu dibiayai sepenuhnya kerajaan DAP Pulau Pinang dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

Sementara itu, exco Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng menafikan dakwaan Nasrudin bahawa beliau membuat kenyataan pada 15 Mac tahun lepas bahawa projek itu dibuat secara rundingan terus.

"Ini adalah fitnah jahat oleh Nasrudin...saya sedia memberikan bukti dan keterangan di mahkamah bahawa projek itu dijalankan secara tender terbuka mengikut piawaian dan takrifan antarabangsa," katanya. -- Bernama

Ukraine dakwa pemisah tersalah tembak MH17, kerana sangka ia pesawat Aeroflot

Gambar fail pesawat Aeroflot milik syarikat penerbangan Rusia - EPA/SERGEI ILNITSKY

KUALA LUMPUR: Ukraine mendakwa kumpulan pemisah pro-Rusia telah menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 secara tidak sengaja selepas menyangka pesawat itu adalah milik syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot. Ia didakwa dilakukan bagi menarik perhatian Rusia untuk turut sama terbabit menceroboh Ukraine.

Menurut laporan The Moscow Times, teori terbaru itu dinyatakan oleh Ketua Perkhidmatan Keselamatan Ukraine, Valentyn Nalyvaichenko yang berkata pada Khamis, anggota pemisah mensasarkan pesawat Aeroflot yang dalam perjalanan dari Moscow ke Larnaca, Cyprus dimana laluannya berhampiran dengan laluan pesawat malang MH17 itu.

Kumpulan pemisah telah “diarahkan” untuk meletakkan senjata peluru berpandu anti-pesawat Buk di sebuah perkampungan di Pervomaisk ke timur Ukraine, tetapi oleh kerana kumpulan itu terdiri rata-ratanya dari warga Rusia, mereka telah terkeliru dengan sebuah lagi perkampungan dengan nama yang sama dan terletak kira-kira 100 kilometer jaraknya antara satu sama lain, kata Nalyvaichenko dalam satu kenyataan yang dikeluarkan agensinya.

Kesilapan itu dianggap besar kerana menurut Nalyvaichenko: Pertama, ia telah membawa kumpulan pemisah terbabit di kedudukan laluan yang dilalui oleh MH17 dan bukannya laluan Aeroflot seperti yang dirancangkan. Kedua, ini juga bermakna peluru berpandu telah dilancarkan dari kawasan yang dikuasai oleh kumpulan pemisah dan bukannya di kawasan yang dikuasai oleh pihak tentera Ukraine, katanya.

“Dari lokasi asal yang disasarkan, pesawat Aeroflot sepatutnya ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai pihak tentera Ukraine,” Nalyvaichenko dipetik berkata oleh agensi berita Ukraine, Liga Novosti.

“Serangan pengganas itu adalah satu perancangan untuk membolehkan satu tindakan agresif dimulakan (oleh Rusia) ekoran kehilangan banyak nyawa warganya yang tidak berdosa,” dia dipetik berkata.

Kenyataan agensi itu juga berkata hasil siasatannya menunjukkan pencerobohan Ukraine oleh Rusia akan bermula pada 18 Julai – sehari selepas pesawat itu ditembak jatuh – tetapi ekoran kesilapan itu, perancangan itu telah diubah.

Sementara itu dengan angkatan tentera Rusia dilaporkan mula berhimpun di sempadan, Ketua Setiausaha Pakatan Atlantik Utara, NATO, Anders Fogh Rasmussen memberi amaran kepada Moscow agar berundur atau berhadapan sekatan lebih ketat.

Laporan sebelum ini mengatakan lebih 20 ribu anggota tentera Rusia telah bersiap sedia di sempadan Ukraine dan bersedia menceroboh Ukraine dengan menggunakan alasan untuk memastikan keamanan di kawasan bergolak.

Penerbangan MH17, menggunakan pesawat Boeing 777-200ER, sebelum ini dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan ke udara ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Julai 17.

Pesawat dengan 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh puak pemberontak pro-Rusia. - Agensi