Monday, 4 August 2014

Israel umum gencatan senjata kemanusiaan 7 jam di Gaza

Genjatan senjata akan dilaksanakan di semua bahagian di Gaza kecuali di imur Rafah - EPA/OLIVER WEIKEN

BAITUL-MAQDIS: Tentera Israel mengumumkan akan melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh jam di Semenanjung Gaza hari ini, tindakan terbaharu selepas hampir empat minggu konflik Israel-Palestin berlangsung.

Menurut kenyataan tentera Israel, gencatan senjata akan bermula pada 0700 GMT (3 petang waktu Malaysia) dan berakhir pada 1400 (10 malam waktu Malaysia).

Ia akan dilaksanakan di semua bahagian kecuali di timur bandar Rafah dengan alasan masih ada pertempuran yang berlangsung dan wujud kehadiran tentera rejim di situ.

Bagaimanapun pemimpin tentera rejim Israel di Tebing Barat dan Gaza Yoav Mordechai memberikan amaran yang pihaknya akan membalas sebarang serangan sekiranya dilancarkan sepanjang gencatan senjata itu dilaksanakan.

Mordechai juga menggesa dua penduduk perkampungan di Abasan al Kabira dan Abasan al Saghira di wilayah Khan Yunis ke selatan Gaza untuk pulang ke kediaman mereka bermula 0500 GMT (1 petang waktu Malaysia).

Sementara itu tentera Israel dilaporkan mula mengundurkan sebahagian anggota tenteranya termasuk sejumlah kereta kebal dari Gaza.

Bagaimanapun ia masih melancarkan beberapa serangan udara ke atas wilayah Palestin itu.

Pengunduran dilaksanakan ketika perdana menteri rejim, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan ke atas Gaza walaupun mengambil tempoh lama dan menggunakan sebanyak mana kekuatan yang diperlukan.

Katanya, tentera rejim zionis mencapai kejayaan besar dalam memusnahkan infrastruktur milik Hamas.

Bagaimanapun jurucakap Hamas, Fawzi Barhum berkata Netanyahu keliru terhadap krisis sebenar yang dihadapinya.

Hamas juga kata Fawzi tidak akan mengalah dan meneruskan penentangan terhadap penjajah Yahudi sehingga misi tercapai. - Agensi

Treler Saloma 'Mencuri Guruh' didedahkan

Treler Saloma Mencuri Guruh didedahkan

KUALA LUMPUR: Treler bahagian pertama telefilem Saloma didedahkan kepada umum lewat malam tadi.

Saloma, telefilem arahan anak saudara Saloma sendiri iaitu Melissa Saila bakal ditayangkan kepada umum di saluran eksklusif Astro First.

Telefilem itu mengisahkan sejarah hidup Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma ikon muzik negara bermula di zaman kanak-kanaknya sehinggalah di saat kematiannya.

Telefilem itu dibintangi Nabila Huda, Azhan Rani, Tony Eusoff, Sazzy Falak, Sharifah Amani, Julia Ziegler, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Saloma – Mencuri Guruh bahagian pertama daripada dua episod itu berlatar zaman kanak-kanak Saloma sehinggalah kepada penceraiannya dengan suami pertama A R Tompel.

Diterbitkan oleh Kus Semangat Aktor, telefilem berdurasi empat jam ini akan ditayangkan dalam dua bahagian di saluran Astro First mulai 28 Ogos nanti. - Astro Awani