Monday, 28 July 2014

Malaysia masih runding gencatan senjata antara Ukraine dan puak pemisah


Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk.


UTRECHT: Kerajaan Malaysia kini sedang berunding dengan kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk, untuk mencapai gencatan senjata bagi memastikan laluan selamat untuk pasukan penyiasat antarabangsa memasuki lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Torez, timur Ukraine.

Ketua Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata kawasan gencatan senjata yang dirundingkan adalah berada dalam lingkungan kira-kira 35km di lokasi nahas MH17 yang terhempas pada 17 Julai lepas.

Beliau berkata rundingan gencatan senjata itu bertujuan untuk membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa, yang terdiri daripada Malaysia, Belanda dan Australia, mendapatkan semula sisa-sisa mayat mangsa dan bangkai pesawat Boeing 777-200ER untuk siasatan.

"Casis pesawat telah berselerak di sekitar kawasan tragedi itu dan ini adalah cabaran untuk kumpulan penyiasat untuk melaksanakan tugas mereka," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sehingga ini, tiada pihak mendakwa bertanggungjawab atas insiden tersebut.

Khairil Hilmi berkata tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk rundingan bagi mencapai gencatan senjata antara kedua-dua pihak berkenaan.

"Ia (rundingan) masih berterusan. Keutamaan kami adalah untuk membawa balik sisa-sisa jasad mangsa serta siasatan di lokasi nahas dijalankan dengan cepat," katanya.

Pasukan Siasatan Khas Malaysia telah menerima mayat mangsa dengan jumlah 227 keranda dibawa dari Kharkiv, Ukraine ke Eindhoven, Netherlands

Pasukan itu juga berjaya mendapatkan dua kotak hitam pesawat itu yang mengandungi data dan perakam suara selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berunding dengan ketua puak pemisah, Alexander Borodai, minggu lepas.

Berikutan rundingan gencatan senjata masih berterusan, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat Netherlands, Mark Rutte, di The Hague, Rabu ini bagi membincangkan perkara berkaitan tragedi MH17. - Bernama

Penangan bot pukat rawa sorong

Bot pukat rawa sorong yang ditinggalkan di sekitar perairan
Bot pukat rawa sorong yang ditinggalkan di sekitar perairan

YAN - Lebih 100 nelayan di daerah Yan mendakwa kerugian ribuan ringgit selepas hasil hidupan laut di kawasan perairan Sungai Limau hingga ke Tanjong Dawai semakin berkurangan.

Difahamkan, masalah itu berlaku disebabkan kewujudan semula aktiviti haram bot pukat rawa sorong.

Wakilnya, Roshidi Hakim, 35, berkata, kekurangan hasil hidupan laut menyebabkan sumber pendapatan nelayan terjejas teruk.

Beliau berkata, ia juga menyebabkan harga ikan mahal terutama sepanjang musim perayaan.

“Sebelum ini, pihak berkuasa meningkatkan rondaan di kawasan perairan dan berjaya mengurangkan aktiviti bot pukat rawa sorong.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, lebih 15 bot pukat rawa sorong dikesan aktif pada jam 3 hingga 7 pagi setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, kegiatan bot pukat rawa sorong itu juga sering kali dikesan berkeliaran di sekitar perairan Singkir, Ruat, Sungai Udang dan Pantai Murni.

“Kita sedia maklum bahawa kegiatan menggunakan bot pukat rawa sorong tidak dibenarkan oleh kerajaan, tetapi mereka masih berdegil.

“Kegiatan itu menyebabkan hasil hidupan laut seperti ikan kembung, udang dan ketam semakin berkurangan,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila ikan kembung hanya boleh didapati pada saiz kecil manakala yang besar sukar diperoleh.

“Kalau ikan kecil memang ada tetapi terlalu sedikit. Ini bermakna hidupan laut jenis itu semakin pupus dan menyukarkan kami mendapat hasil pendapatan,” katanya.

Berikutan itu, nelayan terbabit menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membendungnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perikanan Kedah memandang serius masalah kehadiran bot pukat rawa sorong yang dipercayai kembali menjalankan operasinya. - Sinar Harian