Monday, 28 July 2014

Membimbangkan: Selangor catat 2,000 kemalangan dalam 5 hari

PDRM

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,288 kemalangan jalan raya dilaporkan di Selangor sehingga Jumaat sejak Ops Selamat 5 dilancarkan Isnin lepas, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 119 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 2,169 kes.

"Daripada 2,288 kes itu, 16 adalah kes kemalangan maut yang meragut 18 nyawa termasuk nyawa 10 penunggang motosikal.

"Daripada jumlah besar itu, sebanyak 1,135 kes berlaku di jalan-jalan bandar di seluruh Selangor," katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Ops Payung 5 di sini, semalam.

Menyentuh mengenai kes pecah rumah sepanjang lima hari Ops Selamat 5 bermula, Abu Samah berkata sehingga semalam sebanyak 48 kes dilaporkan di seluruh Selangor berbanding tahun lepas sebanyak 81 kes dalam tempoh yang sama, iaitu penurunan sebanyak 33 kes.

Op Selamat 5/2014 Sempena Aidilfitri akan berlangsung selama 15 hari bermula 21 Julai.

Abu Samah dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya berikutan warga kota mula balik ke kampung masing-masing sejak semalam. - Sinar Harian 

Azizul raih gangsa, hadiah pengubat rindu kepada anak sempena Aidilfitri

MOHD AZIZULHASNI: Saya sangat rindukan anak saya, memang sedih juga tidak dapat beraya dengan mereka.

GLASGOW: Jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat gangsa bagi acara keirin sebagai pengubat rindu kepada anak sempena sambutan 1 Syawal, Isnin.

Bagaimanapun beliau terkilan tidak dapat merealisasikan impian pingat emas di temasya Sukan Komanwel ke-20 di sini dan berharap seluruh keluarga serta rakyat Malaysia gembira dengan pencapaiannya di Velodrom Sir Chris Hoy pada Ahad.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh Matthew Glaetzer dari Australia dan pingat perak pula menjadi milik Sam Webster dari New Zealand.

"Sasaran saya mahu meraih pingat emas namun mungkin pingat gangsa ini adalah rezeki saya di sini, saya berharap semua rakyat Malaysia gembira dengan pencapaian di sini.

"Memang saya membuat henjutan pada pusingan terakhir, saya yakin boleh meraih pingat emas atau perak, selepas lihat paparan keputusan di papan markah, saya di tempat ketiga. Kecewa juga sebab sasaran saya adalah lebih baik dari itu," kata Mohd Azizulhasni kepada pemberita di sini.

Mohd Azizuhasni berkata semangat dan sokongan keluarga mendorong beliau untuk meraih pingat buat kontinjen negara walaupun mengakui berasa sedih tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama anak perempuannya, Amna Maryam, yang berusia dua tahun.

"Saya sangat rindukan anak saya, memang sedih juga tidak dapat beraya dengan mereka, selepas ini skuad basikal akan terus ke Jerman, jadi saya akan jumpa anak dan isteri semasa Sukan Asia di Korea Selatan, September ini.

"Saya sempat 'facetime' (panggilan video) dengan anak dan keluarga sebelum perlumbaan tadi," katanya. - Bernama